KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak kediaman legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek bersenjatakan pisau, Mei lalu.
Tertuduh Mohamad Fawyas Yasin, 27, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, rakyat asing itu didakwa merompak harta mangsa atau nama sebenarnya Mohamad Razif Mohd. Sidek, 64, bersenjatakan pisau di sebuah rumah di Jalan Damansara, TTDI di sini pukul 12.20 tengah hari, 19 Mei lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha tidak menawarkan jaminan berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh serius.
“Walaupun tertuduh di bawah perlindungan dan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), semakan mendapati kad tersebut telah luput selain tertuduh tidak mempunyai alamat tetap.
“Sekiranya jaminan diberikan dan tertuduh tidak hadir ke mahkamah, sukar untuk menjejaki keberadaannya.
“Selain itu, tertuduh juga mengetahui alamat mangsa yang juga saksi dalam kes ini dan dikhuatiri saksi-saksi akan diganggu,” kata Banusha.
Bagaimanapun, peguam Mansheel Kaur yang mewakili Mohamad Fawyas memohon mahkamah memberikan jaminan dengan alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarga yang mana isterinya tidak berkerja termasuk mempunyai seorang bayi yang baru berusia 10 bulan.
“Tertuduh bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM50 sehari. Dia telah tinggal di negara ini selama 15 tahun.
“Berhubung dengan kad luput UNCHR, difahamkan kad tersebut dalam proses untuk diperbaharui,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Siti Shakirah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Julai ini bagi sebutan kes. – MalaysiaGazette
















