AMERIKA SYARIKAT – Kapten Jepun, Wataru Endo membuat keputusan mengejut apabila menarik diri daripada skuad Piala Dunia 2026 dua hari sebelum perlawanan pertama akibat kecederaan menyaksikan satu tamparan hebat buat Samurai Biru.
Pada masa sama, pemain tengah Liverpool itu turut mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa berkuat kuasa serta merta.
Perkembangan terkini itu disahkan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) apabila pemain tengah berusia 33 tahun itu digantikan oleh penyerang Borussia Monchengladbach, Shuto Machino dalam senarai akhir kejohanan.
“Saya telah melakukan segala yang termampu sehingga ke tahap ini, jadi saya langsung tidak menyesal,” kata Endo dalam satu catatan media sosial.
Endo berkata dia kecewa kerana tidak dapat menyertai acara yang menjadi tumpuan utama itu tetapi berbangga dengan perkembangan pasukan sejak Piala Dunia 2022 di Qatar.
“Dengan kempen ini, saya akan bersara daripada pasukan kebangsaan. Jadi mulai sekarang, saya akan bersorak untuk pasukan kebangsaan Jepun sebagai salah seorang peminat,” katanya.
Endo yang sudah mencatatkan 73 penampilan dan menjaringkan empat gol bersama Jepun memilih untuk meninggalkan pasukan kebangsaan.
Jepun berada dalam Kumpulan F dan memulakan penampilan kelapan mereka dalam edisi kali ini menentang Belanda di Dallas pada 14 Jun sebelum menentang Tunisia dan Sweden. – Agensi
















