Foto: AFP

BANGKOK – Puteri Bajrakitiyabha Mahidol, puteri sulung Raja Thailand, mangkat pada usia 47 tahun, selepas lebih tiga tahun dirawat di hospital berikutan penyakit yang menyerangnya secara tiba-tiba.

Menurut pengumuman istana diraja pada Jumaat, baginda mengalami jangkitan pada bahagian abdomen dan `keadaannya terus merosot’ sehingga menghembuskan nafas terakhir pada petang Khamis.

Baginda akan akan disemayamkan di Istana Besar (Grand Palace) di Bangkok dan upacara pengebumian akan diadakan dengan penghormatan tertinggi mengikut tradisi diraja, tambah kenyataan itu seperti dilaporkan AFP.

Dikenali di Thailand sebagai `Puteri Bha’, baginda merupakan anak tunggal hasil perkahwinan pertama Raja Maha Vajiralongkorn dan dirawat di hospital sejak sakit secara mengejut pada Disember 2022.

Pada Mei lalu, keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot dan bergantung kepada peralatan perubatan bagi menyokong fungsi paru-paru dan buah pinggangnya, selain rawatan ubat-ubatan.

Bajrakitiyabha ialah anak tunggal Raja Vajiralongkorn hasil perkahwinan pertamanya dengan Puteri Soamsawali.

Merupakan seorang pendakwa raya dan diplomat terlatih, Bajrakitiyabha mendapat pendidikan di Britain, Thailand dan Amerika Syarikat (AS).

Baginda memperoleh ijazah undang-undang dari Cornell University dan pernah berkhidmat sebagai Duta Thailand ke Austria.

Baginda juga memegang beberapa jawatan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menjadi pejuang hak wanita, termasuk memperjuangkan penambahbaikan keadaan bagi wanita yang dipenjarakan.

Sebagai puteri diraja, Bajrakitiyabha memainkan peranan istiadat yang penting dalam masyarakat Thailand, di mana institusi diraja berada di kedudukan tertinggi dalam hierarki negara.

Puteri itu dilihat mempunyai hubungan rapat dengan ayahandanya dan dilantik ke jawatan kanan dalam pasukan kawalan keselamatan diraja setahun sebelum dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, Raja Vajiralongkorn yang berusia 73 tahun yang mempunyai tujuh orang anak daripada empat perkahwinan, masih belum mengumumkan pewaris pilihannya, walaupun peraturan pewarisan takhta memberi keutamaan kepada lelaki.

Thailand mempunyai peraturan yang sangat ketat mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh diperkatakan tentang keluarga diraja.

Keluarga diraja dilindungi oleh undang-undang Lese-majeste yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan terhadap mereka. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast