KUALA SELANGOR – Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan tindakan tegas terhadap penempatan haram dan pelanggaran syarat guna tanah di seluruh negeri tanpa mengira latar belakang penghuni, termasuk kawasan yang didiami komuniti Rohingya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya kerana membabitkan hak milik tanah serta proses perundangan yang perlu dipatuhi.
“Isu utama ditangani kerajaan negeri adalah pelanggaran syarat guna tanah, pembinaan struktur tanpa kelulusan serta penempatan haram yang bercanggah dengan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Semua tempat yang mempunyai isu akan kita uruskan berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada. Ia bukan berdasarkan sama ada penghuninya Rohingya, Indonesia, Vietnam, Nepal atau mana-mana warga asing lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan operasi Loji Sisa-ke-Tenaga 1 (WTE1) di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) Jeram.
Sebelum ini, media melaporkan etnik Rohingya didakwa membina kediaman seakan flat empat tingkat secara tidak sah di kawasan terpencil di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.
Pendedahan itu dilakukan penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, atau dikenali Pak Azad yang secara kebetulan melalui jalan terbabit sebelum merakam video memaparkan keadaan flat yang mencurigakan.
Video tular terbabit menunjukkan kediaman bertingkat dengan laluan koridor ditutup bumbung zink, struktur dinding batu bata yang tidak disimen dengan sempurna, di samping sambungan paip air dan wayar elektrik yang mencurigakan.
Amirudin juga menjelaskan, kerajaan negeri tidak boleh terus merampas atau merobohkan sesuatu penempatan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan kerana pemilik tanah mempunyai hak yang dilindungi undang-undang.
“Dalam banyak kes, kita perlu memberi peluang kepada pemilik tanah untuk memulihkan tanah tersebut.
“Ada juga kes yang perlu dibawa ke mahkamah sebelum tindakan lanjut boleh dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap penempatan haram yang melanggar syarat pembangunan dan peraturan perbandaran.
“Penempatan haram perlu dirobohkan dan ditangani dengan sebaik mungkin. Saya telah menerima jaminan daripada pihak berkuasa tempatan bahawa tindakan segera akan dilaksanakan termasuk perobohan dan, jika perlu, proses perampasan tanah mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, Amirudin menjelaskan isu melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan khususnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kerajaan negeri hanya boleh membantu dari segi logistik dan koordinasi semasa operasi penguatkuasaan dijalankan.
“Sebelum ini kerajaan negeri turut bekerjasama dalam beberapa operasi imigresen di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi termasuk di Batu Muda dan Selayang.
“Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan kepada pihak imigresen termasuk penyediaan jentera dan kemudahan logistik bagi membantu operasi penguatkuasaan,” katanya.
Mengulas isu komuniti pelarian yang memiliki dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Amirudin berkata, perkara itu memerlukan pendekatan berbeza kerana melibatkan dasar antarabangsa dan pertimbangan kemanusiaan.
Beliau menegaskan, walaupun terdapat desakan supaya tindakan segera diambil terhadap semua penempatan warga asing, kerajaan negeri perlu memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut peraturan dan bidang kuasa yang ditetapkan.
“Memang mudah untuk meminta tindakan segera dilakukan, tetapi kerajaan perlu mematuhi undang-undang dan prosedur yang ada supaya setiap tindakan yang diambil sah serta dapat dipertahankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















