Beberapa warga asing dilihat di kaunter beberapa premis perniagaan di sekitar Medan Warisan, Kuantan ketika tinjauan Malaysia Gazette.

KUANTAN – Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli menafikan dakwaan kononnya Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) membiarkan warga asing menjalankan perniagaan tanpa lesen di sekitar daerah ini.

Beliau menegaskan bahawa MBK tidak pernah berkompromi sekiranya kegiatan itu berlaku.

“Di Kuantan kita tahu isu utama adalah kebanjiran etnik Rohingya. Dari segi sudut premis perniagaan, kita keluarkan (lesen) secara sah kepada warganegara tempatan sahaja.

“Dan kita tahu antara faktor adalah kerana berlaku perkahwinan di antara warga asing dan warga Malaysia.

“Dalam masa sama, sekiranya mereka terlibat dalam perniagaan, maka pasangan mereka yang warga tempatan tu yang mohon lesen untuk berniaga dengan PBT. Itu yang berlaku di Kuantan,” jelasnya ketika sidang media di Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini hari ini.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular beberapa premis perniagaan di sekitar Medan Warisan, di sini yang dijalankan individu etnik Rohingya.

Zaliza juga mengesahkan pihaknya ada menerima aduan mengenai perkara tersebut dan telah mengambil tindakan sewajarnya mengikut bidang kuasa MBK.

Namun, ujar beliau, semakan mendapati perniagaan yang dimaksudkan adalah sah beroperasi dengan lesen yang dimiliki rakyat tempatan.

“Dari segi keabsahan lesen, memang kita tak boleh pertikaikan sebab masing-masing berlesen (melalui pasangan warga tempatan).

“Tapi, sekiranya ada pelanggaran undang-undang lain, MBK tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka. Ia termasuk kepatuhan kepada syarat pelesenan, kebersihan dan sebagainya,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu terdapat perbincangan dilakukan melibatkan Datuk-Datuk Bandar di seluruh negara dalam usaha menangani kebanjiran warga asing yang dilihat semakin menguasai perniagaan di negara ini.

Justeru, beliau menyeru agar orang awam tampil menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perniagaan tidak sah yang dijalankan oleh warga asing di sekitar daerah ini agar tindakan tegas dapat diambil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast