KUALA LUMPUR – Seramai 471 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 31 majikan ditahan dalam 179 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara sepanjang tempoh 8 Jun hingga semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 1,494 individu melibatkan warga tempatan dan warga asing telah diperiksa di pelbagai lokasi tumpuan.
Menurut beliau, daripada jumlah yang diperiksa, 471 PATI ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan berkaitan.
“Selain itu, seramai 31 majikan turut ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai menggaji atau melindungi warga asing yang melakukan kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, empat negeri merekodkan jumlah operasi tertinggi dalam tempoh tersebut iaitu Johor dengan 52 operasi, diikuti Perak (36), Kedah (25) dan Putrajaya (22).
Katanya, pelaksanaan operasi secara menyeluruh itu membuktikan komitmen JIM dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang imigresen dilaksanakan secara konsisten tanpa kompromi.
Jelas beliau, antara fokus utama operasi adalah memastikan warga asing mematuhi syarat pas yang diberikan oleh kerajaan.
“Setiap pas yang dikeluarkan mempunyai tujuan dan syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh pemegangnya. Sebarang penyalahgunaan pas, termasuk menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan atau terlibat dalam aktiviti perniagaan secara tidak sah, merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, operasi tersebut turut bertujuan memberi mesej jelas kepada semua pemegang pas supaya tidak menyalahgunakan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.
Menurutnya, kegagalan mematuhi syarat pas bukan sahaja boleh menyebabkan pas dibatalkan, malah boleh membawa kepada tindakan penahanan, pendakwaan dan pengusiran dari negara ini.
Zakaria menegaskan, JIM akan terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara, khususnya terhadap warga asing yang terlibat dalam aktiviti perniagaan secara tidak sah, penyalahgunaan pas, bekerja tanpa kebenaran serta pelbagai pelanggaran undang-undang imigresen yang lain.
“Pendekatan penguatkuasaan secara berterusan ini adalah bagi memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara dan kepentingan rakyat Malaysia terus diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran atau aktiviti warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera. – MalaysiaGazette
















