LOS ANGELES – Amerika Syarikat (AS) memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan Paraguay 4-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Stadium SoFi, Los Angeles pada Jumaat.
Penyerang Folarin Balogun muncul wira tuan rumah apabila meledak dua gol untuk memacu kemenangan bergaya AS.
Dominasi berterusan skuad kendalian Mauricio Pochettino turut memaksa pemain Paraguay, Damian Bobadilla, tertampan bola ke gawang sendiri seawal minit ketujuh, sebelum pemain gantian Gio Reyna menambah derita lawan menerusi gol keempat pada penghujung perlawanan.
Kejayaan itu memberi suntikan keyakinan besar kepada skuad kendalian Mauricio Pochettino yang sebelum ini menerima kritikan susulan beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam aksi persahabatan menjelang kejohanan.
AS mempamerkan aksi menyerang yang meyakinkan apabila mendahului 3-0 pada separuh masa pertama, sekali gus meletakkan Paraguay dalam tekanan sepanjang perlawanan.
Kapten pasukan, Christian Pulisic menyifatkan kemenangan tersebut sebagai permulaan ideal dalam usaha mereka melangkah jauh pada kejohanan kali ini.
Perlawanan itu turut mendapat sambutan luar biasa apabila disaksikan 70,492 penonton termasuk beberapa selebriti terkenal Hollywood seperti Tom Cruise, Leonardo DiCaprio dan Halle Berry.
Penyanyi popular Katy Perry turut mencuri perhatian apabila membuat persembahan khas sebelum sepak mula.
Balogun, yang pernah mewakili skuad remaja England sebelum memilih untuk beraksi bersama AS, memastikan tuan rumah berada di landasan tepat untuk meraih tiga mata penuh menerusi dua jaringan pentingnya.
Paraguay hanya mampu memperoleh gol pada minit ke-73 menerusi Mauricio selepas berlaku sedikit kelonggaran dalam pertahanan AS.
Sementara itu, Kanada mencipta sejarah tersendiri apabila meraih mata pertama dalam penyertaan mereka di Piala Dunia selepas seri 1-1 dengan Bosnia-Herzegovina di Toronto.
Bosnia-Herzegovina terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tandukan jarak dekat Jovo Lukic sebelum Cyle Larin menyamakan kedudukan pada babak kedua.
Aksi di Toronto itu turut disaksikan pelakon terkenal Kanada, Ryan Reynolds dan Mike Myers.
Di luar padang, pemain tengah Ghana, Thomas Partey yang sedang berdepan perbicaraan di Britain atas tuduhan rogol, dilaporkan tidak dibenarkan memasuki Kanada selepas permohonan visanya ditolak.
Menurut FIFA, Partey tidak dapat melakukan perjalanan dari kem latihan Ghana di Boston ke Kanada bagi menghadapi Panama pada 17 Jun.
Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu masih layak beraksi dalam baki perlawanan Kumpulan L menentang England dan Croatia yang berlangsung di Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan lain, beberapa isu imigresen turut mencetuskan cabaran sepanjang kejohanan apabila pengadil Somalia, Omar Artan dilaporkan tidak dibenarkan memasuki AS walaupun memiliki visa yang sah.
Pihak berkuasa AS juga dilaporkan menolak permohonan visa beberapa anggota pasukan sokongan Iran serta penyokong dari Senegal dan Ivory Coast.
Aksi pada Sabtu dijangka lebih menarik apabila lapan pasukan bakal turun beraksi.
Juara dunia lima kali, Brazil akan memulakan misi memburu gelaran keenam menentang Maghribi dalam aksi Kumpulan C di East Rutherford, manakala Scotland kembali ke pentas Piala Dunia dengan pertemuan menentang Haiti.
Australia pula dijadual berdepan Turkiye di Vancouver, sementara Qatar akan menentang Switzerland di Santa Clara, California.
Piala Dunia edisi 48 pasukan itu akan melabuhkan tirainya dengan perlawanan akhir di New Jersey pada 19 Julai. -AFP
















