MUAR – Dakwaan sesetengah pihak bahawa kepimpinan di Johor gila kuasa kerana mengadakan pilihan raya Nlnegeri (PRN) lebih awal dari tarikh sebenar adalah tidak benar sama sekali.
Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Ashari Sarip menasihatkan rakyat Johor agar tidak mudah terpedaya dengan dakwaan yang dimainkan pihak luar bertujuan mempengaruhi rakyat negeri ini.
Tambah beliau, pada hakikatnya, orang luar tidak mengetahui secara jelas kehidupan rakyat Johor sebenar.
“Secara umumnya rakyat tahu bahawa musim monsun timur laut (MTL) di negeri ini akan berlaku antara Ogos hingga Mac yang memungkinkan akan adanya kejadian bencana alam seperti banjir.
“Di samping itu beberapa perayaan penting melibat masyarakat Cina, India dan Melayu turut berlaku sepanjang Januari hingga April tahun depan dan keadaan ini akan menyukarkan untuk mengadakan satu perkara besar seperti PRN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mengaitkan keadaan ekonomi negara yang tidak memberansangkan ketika ini untuk mengadakan PRN kerana konflik di Asia Barat adalah tidak relevan.
“Kita tidak tahu bila ia akan berakhir dah kebiasaanya perkara seperti ini berlarutan dalam tempoh lama.
“Dalam masa sama, ada pihak yang menjajakan bahawa keengganan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bekerjasama dengan DAP sebagai diskriminasi kaum adalah tidak tepat kerana parti itu tidak mewakili secara keseluruhan kaum Cina di negeri Johor ini,” katanya.
Menurut Ashari lagi, dalam apa juga program atau pembangunan dilakukan Kerajaan Johor sejak 2022 tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum.
Atas konsep Bangsa Johor katanya, mereka diberikan peluang untuk sama-sama menerima manfaat disediakan.
Ujarnya, paling utama sekali bantuan yang disalurkan kerajaan negeri merangkumi semua kaum dan sudah pun dilakukan sejak dua tahun lalu, bukan hanya menjelang musim pilihan raya.
“Oleh yang demikian, jangan dihiraukan apa yang dimomokkan oleh orang luar kerana mereka hakikatnya tidak mengetahui secara dekat cara kehidupan Bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















