KUALA LUMPUR – Bekalan udang di pasaran negara dijamin kekal mencukupi dan stabil, disokong oleh prestasi pengeluaran industri akuakultur tempatan yang terus berdaya tahan, menurut Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, subsektor udang marin negara yang merangkumi Udang Harimau (Penaeus monodon) dan Udang Putih (Litopenaeus vannamei) kekal memainkan peranan penting dalam menjamin keterjaminan makanan serta memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport.
“Pengeluaran udang marin negara merekodkan 60,970.79 tan pada 2024, sebelum berkurang kepada 57,047.80 tan pada 2025. Dari segi nilai, subsektor itu mencatatkan nilai borong RM1.66 bilion (2024) dan RM1.53 bilion (2025), dengan anggaran nilai runcit melebihi RM2.1 bilion.
“Sehingga Mei 2026, pengeluaran udang marin negara telah mencapai 14,308.36 tan dengan nilai borong RM386.57 juta, sekali gus mencerminkan keupayaan industri tempatan dalam mengekalkan kestabilan bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Kilang Pemprosesan Udang Harimau Camaroe Bhd di Kapar, Selangor hari ini bagi meninjau perkembangan industri hiliran akuakultur dan rantaian bekalan makanan laut negara.
Selangor kekal antara penyumbang utama dengan pengeluaran 2,463.17 tan bernilai RM84.85 juta pada 2025, manakala sehingga Mei 2026 negeri itu merekodkan 852.71 tan pengeluaran.
Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau operasi pemprosesan udang harimau untuk pasaran tempatan dan eksport serta bertukar pandangan dengan pemain industri mengenai usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan laut yang lebih mampan, moden dan berdaya saing.
Antara yang dibincangkan termasuk pematuhan piawaian keselamatan makanan antarabangsa, pembangunan produk nilai tambah, penggunaan teknologi serta automasi, dan pelaksanaan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
DOF turut memperkukuh kawalan biosekuriti di pintu masuk negara bagi mengurangkan risiko penyakit akuakultur seperti Early Mortality Syndrome (EMS) dan White Spot Syndrome Virus (WSSV) yang boleh menjejaskan produktiviti sektor berkenaan.
Selain itu, transformasi industri akuakultur diperkasa melalui pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA), penggunaan teknologi Recirculating Aquaculture System (RAS) dan Internet Kebendaan (IoT) bagi pemantauan kualiti air secara masa nyata, serta pembangunan udang bebas penyakit (Specific Pathogen Free – SPF).
“Industri udang negara mempunyai asas kukuh, disokong pengusaha berpengalaman, teknologi moden dan amalan biosekuriti yang semakin mantap. DOF akan terus bekerjasama rapat dengan industri bagi memastikan bekalan udang kekal stabil, selamat dan berkualiti tinggi,” jelasnya – MalaysiaGazette
















