KUALA LUMPUR – Cubaan seorang pelarian Rohingya mengelak tindakan penguat kuasa dengan melarikan diri merentasi kawasan sawah padi berakhir dengan penahanannya.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dalam kenyataan, berkata lelaki itu dicekup di Guar Kepayang, Kedah, petang semalam.
“Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, lelaki itu bertindak meninggalkan motosikal yang ditunggang sebelum meluru ke arah sawah sebaik menyedari kehadiran anggota JPJ yang menjalankan operasi penguatkuasaan.
“Namun tindakannya gagal apabila dia berjaya dikesan dan ditahan oleh anggota bertugas.
“Siasatan lanjut mendapati penunggang motosikal berkenaan mempunyai 34 saman aktif yang masih belum dijelaskan,” katanya.
Berikutan pelbagai kesalahan yang dikesan, motosikal itu disita bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
JPJ menegaskan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan tanpa kompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan, termasuk warga pelarian UNHCR yang gagal mematuhi undang-undang negara. – MalaysiaGazette
















