Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.

KUALA LUMPUR – Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr N. Sathia Prakash membidas Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang didakwa menyebarkan naratif mengelirukan berhubung prestasi ekonomi Johor dan Selangor.

Beliau berkata, perbandingan pencapaian kedua-dua negeri itu perlu disandarkan kepada fakta rasmi dan bukannya persepsi politik semata-mata, khususnya ketika suasana politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin memanas.

Sathia berkata, Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan hampir satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disumbangkan oleh negeri itu.

“Selangor merupakan penyumbang terbesar ekonomi negara. Hampir 25 peratus KDNK Malaysia datang daripada Selangor.

“Malah, jika merujuk kepada data rasmi, nilai ekonomi Selangor jauh mengatasi negeri-negeri lain termasuk Johor,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hantaran yang dikongsi Ka Siong mengenai perbandingan pembangunan dan prestasi ekonomi antara Johor dan Selangor yang tular sejak beberapa hari lalu.

Menurut Sathia, beliau tidak berniat memperkecilkan pencapaian Johor, namun menyifatkan cubaan menggambarkan seolah-olah keseluruhan ekonomi negara bergantung kepada negeri itu sebagai tidak tepat.

“Saya tidak mahu membezakan Johor dan Selangor. Kedua-dua negeri ini penting kepada pembangunan negara. Tetapi apabila fakta dipersembahkan secara tidak lengkap, masyarakat boleh mendapat gambaran yang salah,” katanya.

Beliau turut menegaskan Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Malah Menteri Besar Selangor telah melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pembangunan yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, Sathia mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

“Jangan hanya kongsi dan viralkan. Semak dahulu fakta yang dikemukakan. Walaupun apa yang saya katakan, saya juga menggalakkan orang ramai membuat semakan sendiri terhadap data rasmi,” katanya.

Beliau menegaskan, naratif itu bukan sahaja disebarkan dalam bahasa Melayu, malah turut diterjemah dan diviralkan dalam bahasa Mandarin sehingga mencapai kelompok pengguna media sosial yang lebih luas.

Mengulas pembangunan pesat di Johor, Sathia berkata, pelbagai projek dan inisiatif yang sedang dilaksanakan di negeri itu turut mendapat sokongan besar daripada Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini merupakan fakta yang tidak boleh dinafikan. Banyak pembangunan yang berlaku hari ini turut mendapat dukungan daripada Kerajaan MADANI.

“Semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Orang ramai perlu mengelakkan penyebaran naratif yang boleh mengelirukan masyarakat demi kepentingan politik sempit menjelang PRN Johor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast