KUANTAN – Dua suspek lelaki dipercayai melarikan wang tunai RM2,500 selepas memecahkan sembilan buah tabung di dua masjid berbeza di Felda Triang, Bera dalam kejadian awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, kejadian itu dilaporkan oleh Imam kedua-dua masjid di Felda Triang 1 dan Felda Triang 3 pagi semalam.
“Kita percaya kedua-dua kejadian dilakukan suspek sama. Laporan pertama diterima membabitkan Masjid Felda Triang 1 dimana kejadian disedari ketika pengadu yang datang ke masjid kira-kira jam 5.30 pagi.
“Lima buah tabung yang diletakkan di masjid berkenaan didapati ditebuk, diumpil serta kunci mangga dipecahkan dan duit dalam tabung hilang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Tambahnya, kali terakhir kutipan wang dalam tabung dilakukan adalah pada 5 Jun lepas dan dianggarkan wang hasil derma dalam kesemua tabung berkenaan berjumlah RM1,500.
Beliau bagaimanapun berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu tidak berfungsi dan rosak akibat disambar petir baru-baru ini.
Sementara itu, katanya laporan kedua dibuat Imam Masjid Felda Triang 3 selepas menyedari empat daripada enam buah tabung di masjid itu turut dicuri.
Zulkiflee berkata, ketika kejadian, kedua-dua masjid tidak dikunci bagi memudahkan penduduk kampung masuk untuk menunaikan ibadah.
“Pengadu memaklumkan kali terakhir wang dalam tabung itu dikutip pada 6 Jun lepas dan anggaran keseluruhan wang di dalam empat tabung yang dicuri berjumlah kira-kira RM1,000.
“Hasil pemeriksaan rakaman CCTV yang dipasang di masjid tersebut mendapati, terdapat kelibat dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 di perkarangan masjid tersebut kira-kira pukul 4.50 pagi ketika hari kejadian.
“Salah seorang suspek yang memakai topi keledar dan bersarung tangan dilihat masuk ke dalam masjid dan memecahkan tabung lalu mencuri duit tabung terbabit,” katanya.
Zulkifli berkata, pihaknya sedang mengesan identiti kedua-dua suspek bagi membantu siasatan kes itu yang diklasifikan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















