SEREMBAN – Pas menerima suntikan baharu apabila 14 tokoh yang terdiri daripada bekas menteri, bekas Exco kerajaan negeri, pemimpin politik, ahli akademik, aktivis masyarakat dan bekas penjawat awam mengumumkan penyertaan mereka ke dalam parti itu pada Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan malam ini.
Pengumuman tersebut dibuat pada program yang turut dihadiri Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Antara nama yang menjadi tumpuan ialah bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan dan bekas ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim serta bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman.
Turut menyertai Pas ialah bekas Exco Kerajaan Negeri Perak yang juga bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Othman serta bekas Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakup.
Selain itu, Dr Md Nizam Baharom yang merupakan bekas Pengerusi Kelab UMNO Manchester dan TPr Lokman Omar iaitu bekas perancang bandar Negeri Sembilan serta bekas Pengerusi PKB turut mengumumkan penyertaan mereka ke dalam parti berkenaan.

Pas turut menerima penyertaan Prof Mohd Nasir Ibrahim yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi FINAS dan Naib Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Turut menyertai Pas ialah Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Anas Iman Sudin serta Saiful Adli Saiful Ridzuan yang merupakan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Padang Serai.
Senarai tersebut turut merangkumi bekas Pegawai Pendidikan dan Setiausaha UMNO Ketereh; Datuk Ahmad Tarmizi Musa; bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mostafa Shah serta Datuk Muqorrobin Mokhtaruddin yang pernah memegang jawatan dalam Pemuda UMNO dan Bersatu selain dikenali sebagai pendaki Gunung Everest.
Turut menyertai Pas ialah Harfitiri Mohd Dahlan yang merupakan bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia serta Azlan Johar, bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor yang kini aktif sebagai pengulas sukan.
Kemasukan 14 tokoh berkenaan dilihat sebagai perkembangan signifikan kepada Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, terutama apabila ia melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang politik, profesional dan masyarakat sivil.
Penyertaan mereka dijangka memperkukuhkan lagi usaha PAS untuk memperluaskan pengaruh parti itu dengan menarik lebih ramai golongan profesional, bekas penjawat awam serta pemimpin politik berpengalaman ke dalam saf perjuangannya. – MalaysiaGazette
















