BRAZIL – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh pada hari Ahad selepas dua buah helikopter bertembung di udara di barat Rio de Janeiro, menurut pihak bomba Brazil.
“Laporan menunjukkan bahawa helikopter-helikopter tersebut bertembung di udara sebelum terhempas ke kawasan parkir sebuah pengedar kereta elektrik, lalu mencetuskan kebakaran yang memusnahkan sekurang-kurangnya 20 buah kenderaan,” menurut kenyataan itu seperti dilaporkan AFP.
“Sekurang-kurangnya enam kematian telah disahkan, dan kesemua mangsa adalah kru pesawat yang terlibat dalam kemalangan tersebut,” tambah kenyataan itu.
Kemalangan itu berlaku di pinggir bandar barat Recreio dos Bandeirantes.
Imej yang disiarkan oleh media tempatan menunjukkan kepulan asap hitam tebal menjulang dari kawasan pengedar kereta tersebut, di mana beberapa buah kereta sedang terbakar.
Kemalangan pesawat kecil adalah perkara yang agak kerap berlaku di Brazil, negara kelima terbesar di dunia.
Bulan lalu, sebuah pesawat kecil terhempas ke sisi sebuah bangunan di bandar tenggara Belo Horizonte, mengorbankan juruterbang dan pembantu juruterbang. – MalaysiaGazette
















