Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan keluarganya sedang berbincang dengan peguam mereka untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Ia susulan hantaran Hishamuddin yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka mengenai Afnan Hamimi yang turut menyentuh mengenai bapanya, Datuk Taib Azamudden Md Taib.

Menurut Afnan Hamimi, beliau boleh menerima sekiranya cercaan atau makian ditujukan terhadapnya, namun perbuatan seperti itu kepada bapanya bukan budaya berpolitik.

Tangkap layar Facebook Afnan Hamimi Tain Azamudden.

“Duduk dalam gelanggang politik, sepak terajang itu lumrah.

“Tapi bila diheret mereka yang di luar gelanggang masuk dalam gelanggang, disepak diterajang semahunya, itu tak gentleman.

“Pakcik seorang pemimpin sebuah parti politik. Tak perlulah saya sebut parti mana.

“Bila pakcik maki cerca abah saya, ini sangat tidak matang. Ini menghina maruah. Ini serangan peribadi.

“Kami sekeluarga sedang berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan undang-undang,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menerusi hantaran sama, Afnan Hamimi turut berkongsi tangkap layar hantaran Facebook Hishamuddin yang menyentuh mengenai beliau dan bapanya, yang turut diselit bersama gambar kondom.

Hantaran Hishamuddin itu berbunyi: “Menilai hantaran ucapan afnan hamimi di Kedah, saya percaya jika Taib Azamudin lebih berhati-hati nescaya beliau takde anak kurang ajar dan tidak beradap.” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast