Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud melakukan sesi lawatan Projek penyelenggaraan dan naik taraf 13 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan sekitar ibu kota ketika di perumahan Awam Seri Sarawak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Projek penyelenggaraan dan naik taraf 13 daripada 60 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan sekitar ibu kota siap sepenuhnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, bakinya dijangka siap penghujung tahun ini melibatkan kos keseluruhan RM300 juta yang diperuntukkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Paling penting di Kuala Lumpur sekarang adalah kepantasan dan perkembangan kerja-kerja dilakukan. Kita sudah bagi peruntukan Ahli Parlimen sekarang pantau perbelanjaan melalui jawatankuasa dan kita mahu kerja-kerja disegerakan supaya apa yang diluluskan kerjanya berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Program Turun Padang ke Perumahan Awam Seri Sarawak dan Perumahan Awam Jalan Loke Yew.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Katanya, kerja-kerja yang dilakukan dalam usaha menyelenggara dan naik taraf PPR dan PA sekitar KL adalah penurapan jalan, cat semula, naik taraf wayar dan kabel.

“Saya mahu kualiti kehidupan warga kota di PPR dan PA semakin meningkat,” tambah Hannah.

Mengulas lanjut Datuk Bandar berkata projek penyelenggaraan dan penaiktarafan di PA Seri Sarawak dan Jalan Loke Yew yang memberi manfaat secara langsung kepada lebih 1,700 keluarga penghuni.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast