Gambar ihsan IPD Bentong

KUANTAN – Lori treler dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit berselekoh mengakibatkan ia terbabas dan terbalik menghempap sebuah kereta dalam kemalangan ngeri di kilometer 43, Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, Bentong petang tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan tiga penumpang termasuk seorang bayi perempuan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk proses bedah siasat pada hari esok.

“Manakala pemandu lori treler mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pinggul serta menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Yahaya, hasil semakan mendapati pemandu lori yang berusia 40 tahun mempunyai 15 rekod saman dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, sampel darah pemandu lori terbabit juga telah diambil bagi tujuan analisis toksikologi sementara siasatan lanjut akan dijalankan bagi melengkapkan siasatan dan mengenal pasti punca kejadian secara keseluruhan.

Sementara itu, pada jam 8 malam tadi, pihak bomba memaklumkan kerja-kerja mengangkat dan mengalihkan lori berkenaan terpaksa dihentikan seketika berikutan berlaku kebakaran di bahagian kepala lori terbabit.

“Kebakaran berlaku selepas kesemua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan. Ia terbakar ketika jentolak cuba mengalihkan lori yang terbalik,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Salahuddin Isa. – MalaysiaGazette

ARTKEL BERKAITAN

4 termasuk bayi berusia setahun maut kereta dihempap treler terbabas di LPT

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast