Israel Katz. Photo AFP

BAITULMAQDIS – Menteri Pertahanan Israel menegaskan tenteranya akan terus ditempatkan di Lubnan, Syria dan Gaza untuk tempoh yang tidak ditetapkan, hanya beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) dan Iran mengumumkan persetujuan untuk menamatkan perang di Asia Barat, termasuk konflik di Lubnan.

Dalam satu kenyataan, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan beliau sedang melaksanakan dasar yang jelas untuk memastikan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) kekal berada di zon keselamatan di Lubnan, Syria dan Gaza bagi melindungi sempadan serta komuniti Israel daripada ancaman kumpulan jihad.

“IDF akan kekal di zon keselamatan di Lubnan, Syria dan Gaza untuk tempoh yang tidak terhad bagi melindungi sempadan dan komuniti Israel daripada unsur-unsur jihad,” katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai perjanjian damai yang dicapai antara AS dan Iran.

Menurut Katz, kawasan berkenaan akan dibersihkan daripada penduduk tempatan dan semua infrastruktur yang didakwa berkaitan keganasan, sama ada di atas atau di bawah tanah, termasuk rumah-rumah di kampung berhampiran sempadan yang didakwa dijadikan pangkalan kumpulan militan, akan dimusnahkan.

Beliau berkata, penguasaan wilayah dan pengekalan zon keselamatan merupakan antara pencapaian terbesar IDF, justeru Israel menentang sebarang pengunduran tenteranya dari Lubnan walaupun berdepan tekanan antarabangsa.

“Kami menentang pengunduran IDF dari Lubnan walaupun terdapat pelbagai tekanan ketika ini dan yang mungkin timbul pada masa depan,” katanya sambil memaklumkan bahawa Netanyahu telah menyampaikan pendirian itu kepada Presiden AS, Donald Trump.

Katz turut memberi amaran kepada Iran bahawa jika republik Islam itu melancarkan serangan terhadap Israel sebagai tindak balas kepada kempen ketenteraan di Lubnan, Israel akan membalas dengan kekuatan penuh.

“Kami tidak akan berkompromi dalam soal kepentingan keselamatan utama Israel dan perlindungan rakyat kami, dan kami tidak akan berundur dari zon keselamatan.

“Jika Iran menyerang Israel susulan perkembangan di Lubnan, kami akan bertindak balas dengan segala kekuatan dan menunjukkan dengan jelas jurang kemampuan antara kedua-dua pihak,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast