KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P. Ramasamy mendakwa Pas gagal mengamalkan prinsip demokrasi selepas pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang dibuat secara unilateral tanpa melalui keputusan bersama Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, meskipun tidak mempunyai bantahan terhadap pelantikan Hamzah, proses yang digunakan menimbulkan persoalan kerana pengumuman itu dibuat oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bukannya diputuskan menerusi gabungan pembangkang berkenaan.
“PN sepatutnya membuat keputusan secara kolektif dalam melantik Ketua Pembangkang dan bukannya ditentukan secara unilateral oleh Presiden Pas.
“Walaupun Pas dan pasukan Reset yang dipimpin Hamzah memiliki majoriti ahli Parlimen pembangkang, pelantikan itu sewajarnya dibuat menerusi PN sebagai sebuah gabungan politik,” katanya dalam kenyataan di laman sosial beliau.
Ramasamy turut mempersoalkan keikhlasan Pas dalam memperjuangkan agenda penyatuan Melayu-Islam selepas parti itu bertindak memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.
Menurutnya, tindakan tersebut bercanggah dengan naratif penyatuan ummah yang sering diketengahkan Pas selama ini.
“Persoalannya, sejauh mana Pas benar-benar ikhlas dalam menyeru kepada penyatuan Melayu-Islam.
“Adakah tindakan memutuskan hubungan dengan Bersatu bertujuan memperkukuhkan perpaduan atau sekadar usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional,” kata beliau.
Beliau berkata, Pas sanggup menamatkan hubungan politik selama enam tahun dengan Bersatu namun pada masa sama masih menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).
Ramasamy turut mengkritik tindakan menyingkirkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar daripada jawatan Ketua Pembangkang, yang menurutnya tidak perlu dan tidak mempunyai justifikasi yang jelas.
Katanya, cara keputusan itu dibuat mencerminkan budaya politik yang tidak demokratik serta pengaruh besar Abdul Hadi dalam menentukan hala tuju parti.
“Bagaimana Pas mahu membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam jika keputusan penting seperti pelantikan Ketua Pembangkang dibuat secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau berpandangan, beberapa tindakan Pas kebelakangan ini termasuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, melantik Hamzah secara unilateral dan menyingkirkan Samsuri membuktikan parti itu masih belum mempunyai kapasiti untuk mentadbir negara secara keseluruhan.
Katanya, keretakan hubungan antara Pas dan Bersatu juga berpotensi membuka ruang kepada Bersatu untuk menentukan haluan politiknya sendiri pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















