KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail percaya rakyat Malaysia mampu membincangkan isu pelarian Rohingya secara matang, rasional dan bertanggung jawab demi kepentingan negara.
Tegas beliau, kerajaan tidak akan melindungi pelaku jenayah serta tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara.
Sehubungan itu, beliau amat mengalu-alukan penglibatan ahli akademik, aktivis masyarakat sivil dan pemikir, pengamal undang-undang, pakar keselamatan serta mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran dan pandangan yang membina untuk tampil mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu pengurusan pelarian di Malaysia.
“Isu ini bukan isu baharu. Ia merupakan isu legasi yang telah berlarutan sejak sekian lama dan diwarisi merentasi pelbagai pentadbiran.
“Namun, hakikat bahawa ia adalah isu legasi tidak pernah dijadikan alasan untuk kerajaan berpeluk tubuh atau mengelak daripada bertindak.
“Kerajaan MADANI memilih untuk mengurus isu ini secara bertanggungjawab, berhemah dan berasaskan fakta. Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, keutamaan kami tetap jelas — memastikan keselamatan rakyat dan negara terus terpelihara, di samping mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Saifuddin sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa cabaran terbesar yang dihadapi dalam pengurusan pelarian ialah ketiadaan data yang lengkap, tepat dan dimiliki oleh Kerajaan Malaysia sendiri mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.
Sebab itu kerajaan sedang melaksanakan proses pengumpulan data dan maklumat biometrik yang lebih menyeluruh.
“Kita tidak boleh mengurus apa yang kita tidak kenal. Kita tidak boleh melindungi keselamatan negara tanpa mengetahui dengan tepat siapa yang berada dalam sempadan negara kita.
“Data yang tepat akan membolehkan kerajaan mengurus pelbagai isu yang berbangkit dengan lebih berkesan, sama ada dari sudut keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, kesihatan awam, pekerjaan mahupun kesejahteraan masyarakat setempat,” ujar belliau lagi.
Dalam pada masa sama, beliau menegaskan bahawa status pelarian bukan lesen untuk melanggar undang-undang Malaysia.
Katanya, mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang negara tetap akan berdepan tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan yang sewajarnya. -MalaysiaGazette
















