KUALA LUMPUR – Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk R. Sri Sanjeevan mencabar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau wakil Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) untuk berdebat secara terbuka berhubung isu pelantikan Ketua Pembangkang yang diumumkan baru-baru ini.
Beliau berkata, perdebatan itu penting bagi menjelaskan asas dan kewajaran Abdul Hadi mengumumkan pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang mewakili Perikatan Nasional (PN).
“Saya mencabar beliau (Balachandran) untuk berdebat secara terbuka mengenai perkara ini. Saya juga tiada masalah sekiranya beliau mahu menghantar Presiden Pas, Hadi Awang.
“Mari kita berdebat secara terbuka mengenai apa yang diperkatakan Abdul Hadi berkaitan pelantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dan perkara-perkara berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sanjeevan berkata, persoalan utama yang perlu dijawab ialah kapasiti Abdul Hadi untuk mengumumkan pelantikan Ketua Pembangkang bagi pihak PN.
“Soalan saya mudah, siapakah Abdul Hadi untuk membuat pengumuman mengenai Ketua Pembangkang bagi pihak PN? Beliau sendiri tidak mahu memegang jawatan Pengerusi PN atau Ketua Pembangkang,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kedudukan Pas dalam gabungan pembangkang itu apabila mendakwa parti berkenaan gagal menampilkan seorang Ahli Parlimen yang mampu memegang jawatan Ketua Pembangkang.
Sebaliknya Pas masih bergantung kepada Hamzah yang ketika ini tidak mempunyai parti politik untuk mengetuai blok pembangkang.
Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada kenyataan Balachandran yang sebelum ini mempertahankan tindakan Abdul Hadi dan menggesa Sanjeevan menghormati proses dalaman PN.
Balachandran dilaporkan berkata, Abdul Hadi merupakan antara tokoh politik paling berpengalaman di negara ini dan tidak semua keputusan dalam politik dibuat melalui sidang media kerana sebahagiannya diputuskan menerusi proses musyawarah dan persefahaman antara pimpinan.
Sebelum ini, Abdul Hadi ketika merasmikan Konvensyen Reset pada Sabtu mengumumkan Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai proses membuat keputusan dalam PN. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
DHPP pertahan Hadi, gesa Sanjeevan hormati proses dalaman PN
















