KUANTAN – Kerajaan negeri sedang mempergiat usaha bagi mempercepatkan proses penyerahan rumah kepada pembeli Projek PR1MA Kampung Lebu, Bentong yang tertangguh berikutan projek berkenaan masih menunggu kelulusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau ambil maklum aduan yang tular berkaitan projek tersebut dan memahami keresahan serta tekanan yang dihadapi pembeli yang telah lama menunggu untuk memiliki kediaman masing-masing.
Menurutnya, projek berkenaan sebenarnya telah mencapai tahap 100 peratus siap dari segi pembinaan termasuk kerja-kerja infrastruktur asas.
“Bagaimanapun, penyerahan milikan masih belum dapat dilaksanakan kerana projek kini berada di peringkat akhir untuk mendapatkan CCC yang merupakan syarat wajib sebelum rumah boleh diduduki secara sah.
“Sehubungan itu, satu sesi perbincangan bersama Majlis Perbandaran Bentong akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan baki ulasan teknikal serta mendapatkan sokongan akhir untuk memuktamadkan CCC tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa memantau rapat perkembangan projek itu menerusi mesyuarat penyelarasan berkala serta jawatankuasa khas bagi projek sakit dan terbengkalai.
Jelasnya, pelbagai tindakan telah dilaksanakan termasuk kerja-kerja baik pulih seperti penggantian bumbung jenis metal deck, penyelesaian masalah kebocoran dan penambahbaikan sistem paip dalaman bagi memastikan rumah yang diserahkan berada dalam keadaan terbaik.
Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, aspek kebajikan dan beban kewangan pembeli turut diberi perhatian apabila sesi libat urus diadakan bersama wakil pembeli serta institusi kewangan.
“Melalui usaha ini, beberapa alternatif telah ditawarkan seperti penjadualan semula ansuran, pengurangan bayaran bulanan serta kemudahan moratorium tertakluk kepada kelulusan pihak bank masing-masing.
“Langkah ini diharap dapat membantu meringankan komitmen pembeli sementara menunggu proses penyerahan rumah diselesaikan,” katanya.
Selain itu, beliau turut memberi jaminan bahawa isu berkenaan tidak dipandang ringan dan akan terus dipantau secara dekat oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, semua pihak yang terlibat akan terus didesak supaya mempercepat proses mendapatkan CCC mengikut peraturan yang ditetapkan bagi membolehkan penyerahan kunci kepada pembeli dilaksanakan dalam kadar segera. – MalaysiaGazette
















