Keputusan mahkamah tertinggi negara amat penting kerana ia bakal menjadi penentu hala tuju isu titah adendum yang masih `tergantung' sejak ia difailkan bekas Perdana Menteri, setahun lalu. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi mengibaratkan salah guna kedudukan yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak melebihi kemusnahan yang dilakukan oleh pemimpin Empayar Hun, Attila yang terkenal dengan kekejamannya.

Attila The Hun merupakan pemerintah abad kelima, antara yang paling digeruni dalam sejarah sehingga digelar Scourge of God kerana serangan ganas dan kemusnahan yang dibawa oleh tenteranya terhadap Empayar Rom.

Hakim Datuk Collin Lawrence berpendirian, skandal kewangan yang membawa kepada pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu digambarkan oleh media dalam dan luar negara sebagai episod kleptokrasi terbesar di dunia.

Menurut beliau, skala penjarahan yang berlaku (dari sudut kewangan, sudah tentu) menjadikan Attila The Hun kelihatan seperti `budak koir’ jika dibandingkan dengan Najib.

Menurut hakim itu, perbicaraan yang bermula pada 19 Ogos 2019 mengambil masa kira-kira enam tahun untuk diselesaikan selain menyifatkannya sebagai rekod yang tidak diingini oleh mana-mana mahkamah.

“Besar kemungkinan ia telah melepasi tempoh mana-mana perbicaraan lain dalam sejarah mahkamah Malaysia, ia bukan satu rekod yang membanggakan,” katanya.

Hakim Collin selanjutnya berkata, tempoh perbicaraan yang panjang mencerminkan kerumitan kes berkenaan membabitkan sejumlah besar dokumen, ramai yang saksi serta dakwaan berkaitan salah satu skandal kewangan terbesar negara.

Ujar beliau, pandemic Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan mahkamah terpaksa menangguhkan perbicaraan mulai 19 Mac 2020.

Ekoran itu, katanya, 19 hari perbicaraan hilang manakala sembilan hari lagi dilepaskan akibat pihak yang terlibat dengan perbicaraan didapati positif Covid 19 sebelum prosiding disambung semula.

Hakim Collin menyatakan demikian dalam alasan penghakiman penuh setebal 809 muka surat bertarikh hari ini yang diperoleh pihak media menerusi laman sesawang kehakiman.

Beliau yang merupakan hakim bicara dalam kes berkenaan menyatakan demikian ketika mensabitkan Najib terhadap semua 21 pertuduhan salah guna kedudukan dan empat pertuduhan pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini
menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Hakim Collin turut mengenakan denda berjumlah RM11.38 bilion bagi kesemua empat pertuduhan tersebut.

Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan bekas Perdana Menteri menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing tanpa denda bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara 15 tahun berkuatkuasa serentak selepas bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib dalang seleweng dana 1MDB, berganding bahu dengan Jho Low – Hakim

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast