KUALA LUMPUR – Penularan poster ‘Pendaftaran Saudara Baharu (Mualaf)’ yang menggunakan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) perlu disiasat secara menyeluruh, telus dan bebas bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab menghasilkan serta menyebarkannya.
Ahli Dewan Negara, Dr Lingeshwaran R. Arunasalam berkata, penjelasan rasmi UPSI poster berkenaan tidak pernah dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan pihak pengurusan universiti, selain tidak disebarkan menerusi mana-mana saluran rasmi institusi itu, tidak memadai untuk meredakan kebimbangan masyarakat.
Menurut beliau, isu berkenaan telah menimbulkan keresahan kerana poster tersebut menggunakan nama dan identiti UPSI selain menyentuh perkara yang amat sensitif dalam konteks masyarakat majmuk negara ini.
“Penafian semata-mata tidak memadai untuk meredakan kebimbangan masyarakat. Satu siasatan yang menyeluruh, telus dan bebas perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan, meluluskan dan menyebarkan poster berkenaan.
“Hasil siasatan tersebut juga perlu dimaklumkan kepada umum demi memastikan ketelusan dan memulihkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan tatatertib yang tegas dan sewajarnya perlu diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran tatacara, penyalahgunaan identiti universiti atau sebarang tindakan yang dibuat tanpa kelulusan pihak berkuasa universiti.
“Tidak ada sesiapa yang seharusnya terlepas daripada prinsip akauntabiliti dan pertanggungjawaban,” katanya.
Pada masa sama, beliau berpandangan kerajaan Madani tidak boleh memandang ringan isu berkenaan memandangkan ia melibatkan sensitiviti masyarakat dan reputasi sebuah institusi pendidikan tinggi awam.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu memandang serius perkara itu dan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus serta bebas daripada sebarang campur tangan.
Beliau turut menegaskan UPSI sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi awam yang dihormati perlu terus dipelihara daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kredibiliti, integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.
“Dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, setiap pihak perlu bertindak dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan sentiasa menghormati sensitiviti masyarakat demi memelihara keharmonian serta perpaduan negara,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















