KUALA LUMPUR – Kerajaan menolak dakwaan mengaitkan Malaysia dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk daripada komuniti Rohingya.
Dalam masa yang sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, dakwaan bahawa kanak-kanak migran dan pelarian dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas jelas tidak menggambarkan usaha sebenar yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Menurutnya, setakat 28 Febuari tahun ini sebanyak enam Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara yang menempatkan seramai 188 orang kanak-kanak, termasuk tujuh orang kanak-kanak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah.
“Pelaksanaan inisiatif Baitul Mahabbah ini adalah langkah interim untuk
menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.
“Hakikatnya, kerajaan melalui KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kebajikan serta perlindungan kanak-kanak yang terlibat terus diberi perhatian,” katanya menerusi kenyataan.
KDN berkata, inisiatif Baitul Mahabbah membolehkan kanak-kanak daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan.
“Di Baitul Mahabbah, mereka ditempatkan dalam persekitaran yang lebih kondusif serta diberikan perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas dan ruang riadah yang bersesuaian dengan umur serta keadaan mereka,” tambahnya.
Dalam masa yang sama kata kementerian itu, kerajaan sedang merancang memperluas skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berfasa bagi menampung kategori umur kanak-kanak yang lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan, tahap keselamatan, keperluan perlindungan kanak-kanak serta kapasiti agensi pelaksana.
“Baitul Mahabbah juga merupakan langkah peralihan yang dilaksanakan kerajaan sementara kerangka inisiatif Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak yang lebih menyeluruh sedang diperhalusi oleh KDN bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik Kerajaan serta badan bukan kerajaan yang berkaitan,” katanya lagi.
KDN turut menegaskan isu berkenaan tidak boleh dilihat secara terpisah daripada konteks yang lebih besar iaitu kemasukan tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang yang melibatkan komuniti rentan termasuk Rohingya.
Justeru kementerian itu menyeru semua pihak, termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan untuk memainkan peranan yang lebih tegas dan bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang mampan.
Ini kerana katanya, tumpuan dan kritikan tidak seharusnya diberikan kepada negara penerima sebaliknya usaha untuk menangani punca sebenar migrasi paksa, membanteras sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, mempercepatkan penempatan semula ke negara ketiga serta mewujudkan keadaan yang membolehkan kepulangan secara selamat juga sukarela dilakukan.
“Dalam banyak keadaan, kanak-kanak menjadi mangsa kepada rangkaian sindiket yang mengambil kesempatan atas konflik, kemiskinan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang di negara asal,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















