KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kewujudan `feel of fear’ dalam negara perlu dilihat sebagai satu amaran yang menyentuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin berpendapat, sejarah menunjukkan bahawa krisis sebenar sesebuah negara bukan bermula apabila ekonomi merosot atau kerajaan bertukar.
Sebaliknya ujar beliau, krisis sebenar bermula apabila rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem negara yang melindungi mereka secara adil.
“Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan Tun Dr. Mahathir, persoalan yang beliau bangkitkan adalah persoalan yang menyentuh asas demokrasi itu sendiri.
“Adakah rakyat masih yakin bahawa undang-undang akan melindungi mereka tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau pegangan politik?
“Apabila rakyat mula takut kepada institusi yang sepatutnya melindungi mereka, maka yang terancam bukan sekadar kerajaan yang memerintah, tetapi asas kepercayaan yang menyatukan sebuah negara,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Armin Baniaz merujuk hantaran Dr. Mahathir dalam laman sosial itu semalam bahawa wujud `feel of fear’ dalam negara dan ia menimbulkan suasana menakutkan seolah-olah negara tidak lagi di bawah undang-undang.
Armin Baniaz selanjutnya menyatakan, sebuah negara menjadi kuat apabila rakyat percaya bahawa undang-undang itu dilaksanakan secara adil, konsisten dan tanpa pilih kasih.
Menurut beliau, sebagai seorang negarawan yang telah menyaksikan perjalanan politik Malaysia selama lebih enam dekad, kebimbangan Dr. Mahathir wajar diberi perhatian serius.
Katanya, kebimbangan bekas Perdana Menteri itu berkaitan persepsi bahawa institusi yang sepatutnya melindungi rakyat semakin dilihat tidak bebas, tidak konsisten, atau terdedah kepada pengaruh politik.
Ujar beliau, dalam mana-mana demokrasi, keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang, badan kehakiman dan agensi penyiasatan merupakan asas kestabilan negara.
“Apabila keyakinan itu mula terhakis, rakyat akan mula mempersoalkan sama ada undang-undang dilaksanakan secara sama rata kepada semua,” ujarnya.
Armin Baniaz selanjutnya berkata, kebelakangan ini, pelbagai kes berprofil tinggi telah mencetuskan perdebatan mengenai keputusan pendakwaan, pengguguran pertuduhan, keputusan lepas tanpa bebas (DNAA) serta layanan yang dilihat berbeza terhadap individu tertentu.
Menurut beliau, kes Muhammed Yusoff Rawther turut menjadi antara contoh yang sering dikaitkan dengan persepsi bahawa wujudnya suasana ketakutan dalam negara.
“Apabila seorang rakyat Malaysia merasakan dirinya perlu mendapatkan perlindungan di luar negara kerana bimbang terhadap keselamatannya, ia secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai tahap keyakinan terhadap institusi yang sepatutnya melindungi rakyat,” ujar beliau.
Ujar Armin Baniaz, perdebatan awam mengenai beberapa kes berprofil tinggi, termasuk keputusan pendakwaan dan siasatan terhadap pengkritik kerajaan, turut menyumbang kepada persepsi bahawa keyakinan terhadap institusi negara sedang diuji.
Menurutnya lagi, perasaan takut juga boleh terbentuk apabila rakyat melihat ahli politik pembangkang, aktivis, wartawan, pempengaruh media sosial dan rakyat biasa disiasat berhubung pandangan yang mereka kemukakan.
Ujar beliau, walaupun setiap tindakan mempunyai asas undang-undang tersendiri, persepsi yang terbentuk ialah ruang kebebasan bersuara semakin sempit dan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang semakin diuji. – MalaysiaGazette
















