KUANTAN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus sungai selepas terjatuh bot ketika menjaring ikan di Sungai Kobat, Taman Impian Jalan Sungai Lembing, di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.23 pagi tadi.
“Hasil maklumat diterima, dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun sedang menjaring ikan menaiki bot di lokasi terbabit.
“Namun, salah seorang daripada mereka telah terjatuh dan disyaki lemas, manakala seorang lagi terselamat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota digerakkan ke lokasi dan melakukan kerja-kerja mencari serta menyelamat mangsa.
Selain itu, katanya Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) turut digerakkkan ke lokasi dan Jabatan Perhilitan juga telah dimaklumkan berkaitan kejadian dan dilaporkan akan ke lokasi. – MalaysiaGazette
















