KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap enam perusahaan yang disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida membabitkan tender pembekalan makanan bernilai RM5.7 juta yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun berkata, enam perusahaan terbabit didapati secara berperingkat melanggar Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 4(2)(d) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712] berhubung penglibatan mereka dalam aktiviti kartel bagi tender berkenaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati perusahaan-perusahaan tersebut terlibat dalam perkongsian maklumat serta berpakat dalam penyediaan bidaan masing-masing.
“Perjanjian itu didapati mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara dalam perolehan awam bagi pembekalan makanan mentah, segar dan kering,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun beliau menegaskan, keputusan cadangan yang dikeluarkan ketika ini hanyalah dapatan awal dan tidak boleh dianggap sebagai bukti konklusif bahawa perusahaan-perusahaan terbabit telah melanggar Akta 712.
Menurut Idrus, semua perusahaan yang terlibat telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan dan diberikan tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan untuk mengemukakan representasi bertulis.
“Mereka juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
“Keputusan akhir hanya akan dibuat selepas semua representasi dikemukakan dan dinilai bersama bukti yang diperoleh sepanjang proses siasatan,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan tegas terhadap amalan kartel dan tipuan bida penting bagi memastikan integriti sistem perolehan awam serta menjamin persaingan yang adil dalam pasaran negara. – MalaysiaGazette
















