Seorang pemandu maut tersepit selepas lori muatan besi dibawanya terbabas dan terbalik di Jalan Seelong-Ulu Tebrau, Kulai malam tadi.

KULAI – Seorang pemandu maut akibat tersepit selepas lori muatan besi dibawanya terbabas dan terbalik di Jalan Seelong-Ulu Tebrau di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kemalangan itu pukul 8.13 malam.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Scania. Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori itu menghala dari Seelong ke Kulai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum terbalik.

“Akibat kemalangan tersebut pemandunya yang berumur 25 tahun iaitu lelaki warga tempatan tersepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jenter JCB terpaksa digunakan untuk membantu kerja-kerja menyelamat mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu

Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pihak bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik hospital di sini di lokasi kemalangan.

Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Pegawai Bomba Tinggi II Asmiza Zaini berkata, seramai 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Jelasnya, mereka dibantu dua jentera Fire Rescure Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda Hilux.

“Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas Nahas Jalan Raya (RTA) dibantu jentera JCB yang lalu di lokasi.

“Operasi mengeluarkan mangsa tamat pukul 8.20 malam tadi,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast