Misi mencari dan menyelamat Muhammad Firdaus Zuharsema, 24 yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh bot di Sungai Kobat, Kuantan.

KUANTAN – Hasrat dua sahabat baik meluangkan masa cuti menaiki bot untuk menjaring ikan bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam sungai dan hilang dihanyut arus.

Difahamkan, ketika kejadian, bot dinaiki Muhammad Firdaus Zuharsema, 26 terlanggar bongkah kayu hanyut kira-kira 1 kilometer daripada jeti di Taman Impian Jalan Sungai Lembing, di sini.

Sahabatnya, Badrul Afiq Jaillany Zam Zam, 24 yang mengemudi bot ketika itu memberitahu, mereka dalam perjalanan pulang semula ke jeti selepas mengangkat pukat.

Badrul Afiq Jaillany Zam Zam

Menceritakan semula detik mencemaskan itu, Badrul berkata kedua-dua mereka turun ke sungai menaiki bot kira-kira jam 9.10 pagi.

“Selepas saya siap angkat pukat, kami nak pulang semula ke jeti tu dan saya terlanggar bongkah kayu. Selepas langgar tu, mangsa tercampak ke sungai. Saya pula terlepas kawalan bot mengakibatkan bot berpusing.

“Selepas saya kawal semula bot, saya pergi kepada mangsa, nampak dia terkapai-kapai. Saya nak capai, tapi tak sempat sebab dia terus tenggelam,” katanya.

Sejurus kejadian berlaku, Badrul yang mengakui panik ketika kejadian mula menjerit meminta tolong dan disedari dua pemancing yang berada tidak jauh dari lokasi yang kemudiannya menghubungi pihak bomba.

Ketika ditemui, Badrul bersama ayah mangsa berada di lokasi kejadian turut sama menyertai operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) anggota bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ayah kepada Muhammad Firdaus Zuharsema turut menyertai SAR pihak bomba di lokasi anaknya itu dipercayai terjatuh bot.

 

Menurut Badrul, dia dan Muhammad Firdaus merupakan sahabat baik sejak mereka kecil.

Kedua-dua mereka merancang untuk keluar menjaring ikan di sungai itu memandangkan hari ini mereka yang bekerja kilang sedang bercuti.

“Pagi tu kami sempat makan nasi lemak atas bot sebelum keluar meneruskan perjalanan. Tak sangka jadi macam ni,” katanya lagi.

Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.23 pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast