KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Pas mengingatkan Bersatu agar tidak membuat kesilapan dalam mencatur strategi pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, ini kerana kenyataan Bersatu untuk melawan Pas pada PRN kelak hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).
“Bersatu sedia lawan PAS di Johor. Suara akar umbi dan hasrat umat Melayu; sebolehnya jangan sampai ‘kabilah’ bertembung. Jika bertembung, yang untung PH. Menang sorak, kampung tergadai.
“Melainkan ada pihak yang mahu menjadi ‘anak tangga’ kepada PH, seperti yang pernah diusahakan dahulu. Ketika itu, PAS menghalang. Harapnya tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN nanti, Mohd Syahir berkata, logo dan watikah akan diputuskan Majlis Tertinggi gabungan parti berkenaan dan ia akan ditandatangani Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Ahli Parlimen Bachok itu, asas rundingan kerusi bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan adalah bersandarkan faktor boleh menang (winnability), kekuatan jentera, sokongan rakyat dan penerimaan calon.
“Sekalipun hendak berlawan, jangan diajak. PAS sudah 75 tahun berlawan. Jika sehaluan, jalan seiringan. Terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan,” katanya lagi.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu memutuskan untuk terus kekal dalam PN dan akan bertanding dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan menggunakan logo gabungan tersebut.
Ahli Parlimen Pagoh menambah, sebagai parti pengasas PN, tidak ada sebab untuk BERSATU mengambil pendirian keluar daripada gabungan itu.
Katanya lagi, BERSATU sedia untuk berdepan PAS dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan jika jalan musyawarah untuk memulihkan hubungan kedua-dua parti gagal. -MalaysiaGazette
















