Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi berpendirian, Datuk Seri Najib Razak menyedari penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana beliau bukan `orang kampung’ yang mudah dikelirukan oleh pengurusan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Hakim Datuk Collin Sequerah berkata, bekas perdana menteri itu sendiri yang mengarahkan agar pengeluaran jaminan kerajaan untuk 1MDB pada 2013, dipercepatkan.

Menurut beliau, Najib bukan ‘orang kampung’ sebaliknya memiliki kecerdasan tinggi selain berasal dari latar belakang keluarga yang cemerlang dalam politik.

Ketika perbicaraan, pembelaan Najib tidak berganjak bahawa beliau dikelirukan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low serta pengurusan tertinggi 1MDB.

Mahkamah bagaimanapun berpendapat, mustahil Najib tidak mengetahui apa yang berlaku dalam 1MDB kerana keterangan menunjukkan beliau sendiri yang mengarahkan Jho Low menemani pegawai khasnya untuk urusan ke luar negara, membuktikan penglibatannya secara sedar dalan operasi syarikat.

“Najib bukan `orang kampung’ (bumpkin), hakikatnya semasa kejadian beliau Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB,” ujarnya yang kini hakim Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, fakta kukuh menunjukkan kehadiran Jho Low sewaktu fasa kritikal urus niaga 1MDB dan kedekatan hubungannya dengan Najib serta tiada tindakan diambil terhadapnya menunjukkan ahli perniagaan itu sebagai proksi dan perantara tertuduh dalam syarikat itu.

Hakim Collin menyatakan demikian dalam alasan penghakiman penuh setebal 809 muka surat bertarikh semalam yang diperoleh pihak media menerusi laman sesawang kehakiman.

Beliau yang merupakan hakim bicara dalam kes berkenaan menyatakan demikian ketika mensabitkan Najib terhadap semua 21 pertuduhan salah guna kedudukan dan empat pertuduhan pengubahan wang haram RM2.3 bilion dana 1MDB.

Pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini
menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Hakim Collin turut mengenakan denda berjumlah RM11.38 bilion bagi kesemua empat pertuduhan tersebut.

Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan bekas Perdana Menteri menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing tanpa denda bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara 15 tahun berkuatkuasa serentak selepas bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast