Datuk Onn Hafiz dalam Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1448H/2026M di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor mahu sebarang pembangunan dan kemajuan yang dibawa di Johor perlu berpaksikan dan wajib bertunjangkan nilai-nilai Islam.

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ini termasuk sentiasa melakukan penambahbaikan demi berhijrah ke satu tahap yang lebih baik.

“Dalam konteks ini, antara yang disyorkan adalah Program Semarak Subuh diperluaskan kepada Program Semarak Isyak.

“Saya sebagai pemimpin dan diberikan amanah untuk menjaga negeri Johor dan rakyat Johor, saya sedar dan insaf bahawa apa saja pembangunan, kemajuan yang kita nak bawa untuk negeri Johor, mesti berpaksikan, wajib bertunjangkan nilai-nilai Islam.

“Bagi saya, dari konteks hijrah, kita kena sentiasa membuat penambahbaikan. Kita lihat daripada segi konteks perjuangan Nabi Muhammad SAW, ketika mula-mula hijrah, orang Islam jumlahnya kecil, ribuan sahaja tetapi hari ini, jumlah umat Islam adalah sebanyak 2 bilion orang,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1448H/2026M di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dan Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Justeru kata Onn Hafiz, Johor perlu melakukan penambahbaikan termasuk mengadakan program baharu bagi menyemarakkan syiar Islam.

“Kalau diizinkan, kalau berjaya ataupun tidak berjaya saya selepas ini, saya nak syorkan lepas ini kita buat Program Semarak Isyak. Kerajaan Johor sebelum ini kita kerap buat Program Semarak Subuh.

“Jadi, itu permintaan saya untuk diperjuangkan supaya kita terus menyemarakkan dan mengimarahkan masjid-masjid,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz turut mencadangkan untuk menambah sekurang-kurangnya 10 buah sekolah agama baharu di negeri ini.

Kerajaan katanya, akan usahakan keperluan tersebut kerana tahu ada beberapa kawasan yang mungkin tidak cukup sekolah agama.

Menteri Besar Johor berkata, pendekatan kerajaan negeri yang memulangkan hasil negeri kepada rakyat menjadi asbab Allah sentiasa melipat gandakan rezeki buat negeri ini.

“Tiga empat tahun ini kita lihat satu peningkatan yang luar biasa bagi hasil negeri ini, tahun lalu, kita sasar RM2 bilion hasil, tetapi dengan kuasa Allah SWT, kita tutup akaun dengan jumlah RM2.6 bilion. Peningkatan RM650 juta,” ujarnya.

Hasil zakat pada 2022 katanya, berjumlah RM367 juta dan meningkat sebanyak pada tahun lalu sebanyak RM448 juta iaitu peningkatan hampir RM100 juta.

“Ini bukan sebab kebijaksanaan pegawai-pegawai kerajaan, ini semua adalah daripada Allah SWT dan saya percaya dengan sepenuh hati bila hasil kita meningkat dan kita pulangkan hasil itu kepada rakyat dengan niat kerana Allah SWT, Allah juga akan membantu.

“Sebagai kerajaan, saya berpegang kepada ayat lagi banyak kita bantu kepada rakyat dan masyarakat, Insya-Allah, Allah juga akan melipatgandakan hasil negeri untuk kebaikan kita,” katanya.

Pada masa sama, Onn Hafiz turut menyeru seluruh rakyat Johor terutamanya mereka yang beragama Islam untuk terus bersatu-padu dan tidak berpecah-belah.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast