LAHAD DATU – Seorang pelancong lelaki warga Jerman meninggal dunia selepas pengsan ketika melakukan aktiviti selam snorkel di perairan Pulau Sakar, di sini pagi tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata Kenneth Ray Crouse, 78, disahkan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.
“Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerima maklumat mengenai keadaan mangsa yang pengsan pada 11.20 pagi dan satu operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) dikoordinasikan.
“Di lokasi kejadian, mangsa turut diberikan bantuan pernafasan oleh rakannya, sebelum bot ronda Cenderawasih 02 mengambil mangsa untuk dihantar ke Jeti Perikanan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
















