JOHOR BAHRU – DAP Johor menggesa Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi penjelasan berhubung keputusan menukar projek Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) kepada Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART).

Setiausaha Publisiti DAP Johor, Wong Bor Yang berkata, ini termasuk kos yang sudah dibelanjakan bagi perancangan dan kajian projek terdahulu.

Menurutnya, DAP kesal dengan kenyataan Onn Hafiz yang dilihat cuba meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan Persekutuan berhubung kemungkinan kesesakan trafik apabila Sistem Transit Rapid (RTS) Link mula beroperasi pada 1 Januari 2027.

“Perubahan daripada IMBRT kepada E-ART merupakan keputusan baharu yang dibuat oleh kerajaan negeri selepas sebelum ini merancang untuk melaksanakan sistem Bus Rapid Transit (BRT).

“Kerajaan negeri perlu menjelaskan mengapa projek IMBRT yang diumumkan secara rasmi pada 2017 tidak dapat diteruskan dalam bentuk asal dan akhirnya distruktur semula kepada projek E-ART,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai itu berkata, ketika projek IMBRT diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan Persekutuan sudah menyatakan komitmen menyediakan pembiayaan sebanyak RM1 bilion, manakala baki RM1.56 bilion dirancang melalui kerjasama awam-swasta (PPP).

Katanya, pelbagai kajian dan perancangan teknikal sudah dilaksanakan selama bertahun-tahun bagi memuktamadkan reka bentuk kejuruteraan, operasi dan keperluan infrastruktur projek IMBRT.

Bagaimanapun katanya, selepas mengambil masa yang lama, projek itu tidak diteruskan dalam bentuk asal sebelum kerajaan negeri memilih cadangan E-ART pada 2024.

“Walaupun cadangan E-ART dimuktamadkan pada Ogos tahun lalu, kerajaan Persekutuan masih bersedia mempertimbangkan dan memberikan sokongan kepada projek berkenaan.

“Pada Mei tahun ini pula, kerajaan Persekutuan mengumumkan kelulusan projek bernilai lebih RM10 bilion bagi memperkukuhkan sistem pengangkutan dan ketersambungan di Johor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang menurutnya cuba mengaitkan kelewatan pelaksanaan projek dengan Kementerian Pengangkutan.

Bor Yang turut menggesa kerajaan negeri menjelaskan jumlah perbelanjaan yang sudah digunakan untuk kajian dan perancangan IMBRT, punca projek itu gagal dilaksanakan serta sama ada kerajaan negeri mengakui terdapat kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaannya.

Tegasanya, kerajaan negeri perlu bersikap telus dan jujur kepada rakyat Johor.

“Jangan jadikan isu kesesakan trafik sebagai alasan untuk mencari pihak lain dipersalahkan sedangkan perubahan dasar dan perancangan projek turut melibatkan keputusan kerajaan negeri Johor sendiri,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Stesen Keretapi Kulai semalam menggesa kerajaan Persekutuan menyerakan pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan kelancaran trafik sebaik projek RTS Link beroperasi awal tahun hadapan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast