KUANTAN – Seramai 98 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) 2025 di Pahang memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Yusof Kassim berkata, jumlah itu meningkat berbanding 82 calon pada tahun 2024.
Beliau berkata, bagi prestasi STPM 2025 pula, seramai 1,059 calon daripada keseluruhan 1,803 calon atau 58.74 peratus memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 3.00 berbanding 1,142 calon atau 55.90 peratus pada 2024.
“Pada STPM 2025 kali ini, Gred Purata Sekolah (GPS) Negeri ialah 3.09 meningkat 0.07 mata berbanding tahun 2024 sebanyak 3.02 mata.
“Kali ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh menerima Anugerah Khas Negeri STPM 2025 kerana mempunyai calon yang mendapat PNGK 4.00 paling ramai iaitu 11 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengumuman Keputusan STPM 2024 Negeri Pahang di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Indera Mahkota, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Yusof mengumumkan Amelie Gan Yee Wen (PNGK 4.00) daripada Kolej Tingkatan Enam Astana, Kuantan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM Aliran Sains Sosial, sekali gus menerima Anugerah Khas Kebangsaan STPM 2025.

Katanya, Anugerah Khas Kebangsaan STPM 2025 bagi Pelajar Terbaik Kebangsaan kategori Orang Asli diraih Hazaril Hakimi Hassan (PNGK 4.00) daripada SMK Temerloh, manakala Ainur Mardiah Adnan daripada SMK Maran pula dipilih sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan Mata Pelajaran Sejarah STPM.
“Bagi calon yang akan menduduki peperiksaan STPM 2026, diharap kejayaan calon STPM 2025 akan membangkitkan semangat dan motivasi untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang,” katanya. – MalaysiaGazette
















