Loh Wee Han hadir bersama ibunya, Lim Lean Yee (kanan) dan neneknya untuk menerima keputusan STPM 2025 di Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kehilangan penglihatan ketika berusia 13 tahun tidak menghalang pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin mencipta kejayaan apabila memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.84 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Loh Wee Han, 21, yang berasal dari Nibong Tebal berkata, kehidupannya berubah secara mendadak selepas mengalami simptom pening, muntah dan penglihatan kabur selama kira-kira 10 hari sebelum disahkan mengalami kerosakan saraf mata sekali gus kehilangan penglihatan.

Menurutnya, dia menjalani rawatan selama setahun di beberapa hospital, namun doktor memaklumkan tiada lagi rawatan yang dapat memulihkan penglihatannya sebelum memulakan persekolahan menengah pada usia 14 tahun.

“Cabaran paling besar buat saya adalah terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai OKU penglihatan dengan mempelajari Braille kerana sebelum itu saya belajar seperti pelajar biasa.

“Saya mengambil masa kira-kira dua tahun untuk membiasakan diri membaca dan menulis menggunakan Braille.

“Saya terpaksa meluangkan masa yang lebih panjang untuk mengulang kaji kerana semua bahan pembelajaran dan rujukan perlu dibaca menggunakan sistem Braille,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tambah anak sulung daripada tiga beradik itu, dia turut berdepan cabaran berjauhan dengan keluarga apabila terpaksa menyewa bilik di Jelutong di sini, sepanjang dua tahun pengajian di Tingkatan Enam memandangkan keluarganya menetap di Nibong Tebal.

“Ibu saya, Lim Lean Yee, 43, yang bekerja sebagai kerani swasta juga perlu menguruskan dua adik saya yang masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, menyebabkan saya terpaksa menyewa dan tinggal bersama kenalan keluarga.

“Setiap hari saya ke kolej menggunakan perkhidmatan e-hailing. Biasanya ibu akan datang mengambil saya pada hari Jumaat dan menghantar semula ke bilik sewa pada Ahad, kecuali ketika musim peperiksaan.

“Kawan-kawan dan guru banyak membantu saya sepanjang belajar. Saya juga memperuntukkan kira-kira tiga jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Menyimpan cita-cita untuk menjadi guru pendidikan khas, Wee Han berharap kejayaan memperoleh PNGK 3.84 itu menjadi langkah pertama untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan dan membantu lebih ramai murid berkeperluan khas pada masa depan.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Mohamad Zawawi Ahmad memaklumkan Prestasi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Pulau Pinang mencatat peningkatan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri meningkat kepada 2.99 berbanding 2.96 pada tahun sebelumnya.

Katanya, pencapaian itu meningkat sebanyak 0.03 mata dan merupakan PNGK tertinggi pernah dicatatkan negeri itu sejak peperiksaan STPM dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast