KUALA LUMPUR – Perebutan hak terhadap logo dan bendera Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin menyerlahkan keretakan hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan pertikaian tersebut sebagai “perebutan harta sepencarian” selepas berakhirnya kerjasama politik yang terjalin sejak penubuhan PN kira-kira enam tahun lalu.
“Isu logo dan bendera PN hari ini menggambarkan pertikaian dalam gabungan itu bukan lagi sekadar perbezaan pandangan politik, tetapi sudah menyentuh soal pemilikan, pengaruh dan legasi.
“Apabila masing-masing mula menuntut hak terhadap simbol yang dibina bersama, ia memberi gambaran bahawa hubungan dalam PN sedang berada pada fasa yang amat mencabar,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, isu yang sebelum ini hanya berlegar dalam kalangan kepimpinan parti kini semakin jelas apabila kedua-dua pihak dilihat cuba menegaskan hak masing-masing terhadap identiti dan aset politik gabungan tersebut.
“Bersatu mendakwa logo dan bendera PN adalah hasil idea serta usaha mereka ketika gabungan itu dibentuk, manakala Pas pula berpendapat kekuatan sebenar PN terletak pada jentera dan akar umbi parti itu yang menjadi tulang belakang kepada gerak kerja gabungan berkenaan.
“Keadaan ini seolah-olah menyaksikan kedua-dua pihak menuntut hak ke atas harta yang dibina bersama sepanjang tempoh kerjasama mereka,” katanya.
Beliau berkata, perebutan mengenai penggunaan logo dan bendera PN bukan sekadar soal identiti visual, sebaliknya membawa makna lebih besar.
“Ini kerana ia melibatkan hak, pengaruh dan penguasaan terhadap jenama politik yang telah dikenali pengundi sejak beberapa pilihan raya lalu.
“Sesiapa yang menguasai simbol rasmi PN berpotensi menentukan naratif merekalah pewaris sebenar perjuangan dan sokongan yang pernah dibina di bawah gabungan tersebut,” katanya.
Gulam Muszaffar juga berkata, perkembangan terbaru dalam struktur organisasi PN turut menguatkan persepsi bahawa gabungan itu sedang melalui proses penyusunan semula yang besar.
“Keadaan itu boleh dilihat apabila Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digugurkan daripada jawatan tertentu dalam PN dan menggantikan mereka dengan individu lain.
“Apabila tokoh-tokoh penting Bersatu semakin berkurangan dalam struktur PN, persoalan yang timbul ialah siapakah sebenarnya yang akan menguasai hala tuju gabungan itu pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut mendakwa kemunculan Parti Wawasan Malaysia (Wawasan) sebagai rakan baharu Pas berpotensi mengubah landskap dalaman PN sekiranya parti tersebut diterima menyertai gabungan berkenaan dalam masa terdekat.
“Sebaliknya kemasukan pemain baharu itu boleh mencetuskan persaingan yang lebih kompleks sekiranya Bersatu masih berhasrat untuk kekal berada dalam PN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan Bersatu agar menumpukan perhatian kepada platform politik lain termasuk gabungan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang ditubuhkan pada 2025.
“Kesetiaan dalam sesebuah kerjasama politik merupakan elemen penting yang tidak boleh dipandang ringan.
“Cita-cita Bersatu untuk menggantikan UMNO sebagai parti dominan Melayu masih jauh daripada menjadi kenyataan,” katanya.
Katanya lagi, perebutan mengenai logo dan bendera PN kini dilihat menjadi simbol kepada krisis yang lebih besar dalam gabungan pembangkang itu.
“Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bentuk dan hala tuju sebenar PN menjelang landskap politik negara yang semakin dinamik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















PN TU SEBENARNYA PARTI YANG TIADA KEBERKATAN. ALLAH ANGKAT KEBERJATANNYA DZN BUANG PARTI BERSATU JAUH JAUH