KUALA LUMPUR – Aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan ke Langkawi.
Ia sekali gus membantu merealisasikan sasaran kedatangan sehingga 3.5 juta pelancong ke pulau peranginan itu, kata Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim.
Menurut beliau, keyakinan pelabur dan pelancong terhadap sesebuah destinasi banyak bergantung kepada tahap keselamatan yang ditawarkan.
Justeru penyediaan kemudahan dan kelengkapan keselamatan yang mencukupi perlu diberi perhatian serius.
“Dalam konteks pelaburan, keselamatan merupakan perkara yang amat penting. Pelabur yang ingin masuk ke Langkawi pasti akan menilai tahap keselamatan terlebih dahulu. Jika mereka tidak yakin, mereka akan memilih destinasi lain untuk melabur,” katanya ketika menjadi tetamu sebuah program bual bicara televisyen baru-baru ini.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti Le Tour de Langkawi membuktikan faktor keselamatan yang baik mampu meningkatkan keyakinan pelbagai pihak terhadap Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.
Pada masa sama, Zuraidi menzahirkan penghargaan terhadap usaha memperkenalkan perkhidmatan ambulans air di Langkawi yang disifatkan sebagai pelaburan keselamatan penting, khususnya bagi penduduk dan pelancong di pulau-pulau sekitar.
Katanya, sebelum ini, pihak berkaitan terpaksa menyewa bot persendirian dengan kos sehingga RM2,500 bagi setiap perjalanan untuk membawa pesakit atau jenazah ke hospital.
“Dengan adanya ambulans air, penduduk dan pelancong dapat menikmati perkhidmatan kecemasan yang lebih pantas, mudah dan berkesan. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat malah meningkatkan keyakinan pelancong yang berkunjung ke Langkawi,” katanya.
Zuraidi yang juga anak jati Langkawi menegaskan, aspek keselamatan tidak boleh dipisahkan daripada agenda pembangunan ekonomi sesebuah destinasi pelancongan kerana ia menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan pelabur dan pelancong.
“Perkara ini penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berlaku secara mampan dan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh masyarakat,” ujarnya.
Mengulas cadangan memperluaskan konsep ambulans air ke pulau-pulau lain di negara ini, beliau berpandangan, langkah tersebut wajar dipertimbangkan kerajaan bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kecemasan dan kesihatan.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri dan Persekutuan memperkukuh kerjasama dalam membawa teknologi baharu, institusi pendidikan tinggi serta kemudahan kesihatan yang lebih baik ke Langkawi.
Menurutnya, gabungan elemen keselamatan, teknologi, kesihatan dan pembangunan ekonomi berpotensi menjadikan Langkawi sebagai model destinasi pelancongan yang selamat, moden dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette
















