Prof Dr Shamsul Bahari Shamsudin

KUALA LUMPUR – Pelajar latihan industri (internship) berada di tempat kerja untuk memperoleh pengalaman, kemahiran dan pendedahan kepada dunia pekerjaan, bukannya untuk dijadikan tenaga kerja murah bagi melaksanakan tugas berbahaya tanpa kawalan keselamatan yang mencukupi.

Pakar Pengurusan Risiko Keselamatan dan Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata, pendedahan kepada aktiviti berisiko tinggi seperti mencuci tangki, bekerja di ruang terkurung (confined space), bekerja di tempat tinggi, pengendalian bahan kimia berbahaya atau kerja-kerja berisiko tinggi lain tanpa latihan dan penyeliaan yang sesuai merupakan satu tindakan yang bertentangan dengan prinsip keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Ujarnya, majikan mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan setiap individu di tempat kerja, termasuk pelajar latihan industri, berada dalam keadaan selamat dan sihat, berdasarkan prinsip Duty of Care (tanggungjawab berjaga-jaga).

Tegas beliau, prinsip itu menuntut majikan untuk mengenal pasti bahaya di tempat kerja; menilai risiko yang terlibat; melaksanakan langkah kawalan yang sesuai dan memberikan latihan dan penyeliaan yang mencukupi.

“Kegagalan berbuat demikian boleh dianggap sebagai kecuaian (negligence),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tambah beliau, dalam pengurusan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan, risiko hendaklah dihapuskan atau diminimumkan sebelum seseorang dibenarkan menjalankan sesuatu tugas.

Jelasnya, bagi kerja seperti di ruang terkurung; mencuci tangki; kerja panas (hot work) dan kerja di tempat tinggi, hanya pekerja yang kompeten, terlatih dan mendapat kebenaran kerja (Permit to Work) sepatutnya dibenarkan melaksanakan tugas tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh berkenaan tanggungjawab institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk menilai kesesuaian tempat latihan industri dan memastikan syarikat mempunyai sistem pengurusan keselamatan yang baik.

Selain itu, ujarnya, IPT juga perlu menjalankan pemantauan berkala; memberi taklimat keselamatan sebelum penempatan dan mengambil tindakan apabila menerima aduan berkaitan keselamatan pelajar.

“Sekiranya IPT mengetahui risiko yang wujud tetapi gagal mengambil tindakan sewajarnya, IPT juga boleh dipersoalkan dari sudut tanggungjawab moral dan pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast