Sebahagian penduduk di Taman Tanjung Puteri, Pasir Gudang yang terkesan dengan pencemaran udara di kawasan tersebut. 

PASIR GUDANG – Pencemaran udara dikesan di Taman Tanjung Puteri Resort di sini sejak Sabtu lalu, sehingga membimbangkan penduduk setempat.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang menerima aduan berkaitan pencemaran bau bahan kimia di kawasan perumahan itu pada pukul 10 malam.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, susulan aduan itu, pasukan penguatkuasa JAS dan Pasukan Polis Taman Pasir Putih menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi.

“Hasil siasatan mendapati terdapat bau yang kuat menyerupai bau minyak serta kesan minyak hitam di sepanjang longkang utama kawasan perumahan itu.

“Pemeriksaan lanjut menemukan kesan pembuangan minyak di sebuah kediaman berhampiran lokasi kejadian yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan telah dikenal pasti dan diambil keterangan oleh JAS bagi tujuan siasatan lanjut.

“Tindakan segera pembersihan dijalankan oleh kontraktor yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

“Sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pelepasan, tumpahan atau pencemaran yang menyalahi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak diingatkan supaya tidak membuang sebarang minyak, bahan kimia dan buangan terjadual ke dalam longkang dan sistem saliran awam.

Menurutnya, perbuatan itu boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar serta menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti jenis dan punca minyak,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast