Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo.

KUALA LUMPUR – Titah Sultan Pahang yang menegaskan kepentingan menjaga kedaulatan negara dan tidak membenarkan mana-mana pihak melangkaui batas sewajarnya dijadikan panduan oleh kerajaan dalam menangani isu pendatang haram serta komuniti Rohingya di negara ini.

Pengerusi Malaysia Community Crime Care (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, baginda sentiasa menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap hal ehwal negara dan perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa serta kementerian berkaitan.

Beliau berharap tindakan lebih tegas dan menyeluruh dapat dilaksanakan bagi menangani isu pendatang haram, termasuk melibatkan komuniti Rohingya, demi melindungi keselamatan serta imej negara.

“Kita mesti melindungi negara dan menjaga imej Malaysia kerana sektor pelancongan merupakan antara nadi penting kepada ekonomi negara.

“Kalau kita sendiri tidak menjaga imej dan suasana negara, pelancong mungkin datang sekali sahaja. Jika mereka melihat keadaan yang tidak aman dan kurang teratur, mereka mungkin tidak akan kembali lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Daniel, rakyat Malaysia selama ini terkenal sebagai masyarakat yang prihatin dan bertimbang rasa, namun semangat kemanusiaan tidak boleh disalah tafsir sehingga mengabaikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tempatan.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan ketika ini seharusnya diberikan kepada rakyat daripada pelbagai kaum yang masih berdepan cabaran kos sara hidup serta kesukaran mencari sumber pendapatan.

“Masih ramai rakyat yang hidup dalam keadaan susah dan sedang berusaha untuk meneruskan kehidupan. Keutamaan perlu diberikan kepada rakyat sendiri sebelum kita memikul beban yang akhirnya boleh menjejaskan negara,” katanya.

Pada masa sama, Daniel berkata, Malaysia perlu mula memberi tumpuan untuk menarik lebih ramai golongan profesional dan tenaga kerja berkemahiran tinggi dari luar negara yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan daya saing negara.

“Kita perlu fokus untuk membawa masuk golongan profesional yang boleh membantu membangunkan negara, berkongsi kepakaran dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan atas dasar perikemanusiaan semata-mata sehingga akhirnya membawa mudarat kepada negara sendiri,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai kewujudan segelintir warga asing yang didakwa menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dan berharap tindakan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan.

Tambahnya, mana-mana pelarian yang tidak dapat ditempatkan secara kekal di Malaysia perlu dipindahkan ke negara ketiga yang bersedia menerima mereka melalui saluran dan mekanisme antarabangsa yang sewajarnya.

“Kita perlu mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dengan kepentingan negara. Keamanan, keselamatan dan kestabilan Malaysia mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast