KUALA LUMPUR – Tiga premis makanan di sekitar Jalan Peel, Taman Maluri diarah tutup selama 14 hari bermula hari ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan, sanitasi dan penambahbaikan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dalam masa yang sama sebanyak 16 kompaun dikeluarkan dalam Operasi Khas yang dijalankan semalam.
Jelasnya, kompaun dikeluarkan selaras dengan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (WPKL) 1979, Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, kegagalan mempamerkan lesen perniagaan, pengendali makanan tidak mempunyai suntikan anti-tifoid dan sijil kursus pengendali makanan.
“Selain itu tahap kebersihan premis yang tidak memuaskan, pengurusan perangkap minyak yang tidak diselenggara, pencemaran longkang awam serta ketidakpatuhan terhadap syarat penyediaan dan pengendalian makanan,” katanya menerusi kenyataan.
Sebagai rekod katanya, operasi tersebut dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan, kebersihan premis dan peraturan kesihatan awam.
“DBKL akan terus memperhebatkan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi menjamin kebersihan, keselamatan makanan dan kesejahteraan warga kota,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















