KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meraikan kejayaan 750 orang graduan TVET Pertanian dalam Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-14 Tahun 2026 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Majlis itu menjadi simbol komitmen berterusan negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi mendepani cabaran rantaian bekalan makanan global.
Majlis konvokesyen itu untuk meraikan para pelatih tahun 2025 yang telah menamatkan pengajian di Institut Latihan TVET Pertanian (ILTP) bawah KPKM.
Graduan itu terdiri daripada 49 orang graduan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM); 312 orang graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM); 350 orang graduan Sijil Pertanian; 28 orang graduan Sijil Veterinar Malaysia (SVM) dan 11 orang graduan Sijil Perikanan.
Majlis itu turut menyaksikan penganugerahan kepada tujuh tujuh penerima Anugerah Khas bagi tahun 2026 atas pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh pengajian.
Para graduan itu telah mengikuti 10 bidang persijilan kemahiran iaitu Tanaman, Ternakan Ruminan, Ternakan Poltri, Teknologi Perikanan Tangkapan, Akuakultur Marin, Akuakultur Air Tawar, Pengeluaran Padi, Pemasaran, Pemprosesan Makanan dan Penyenggaraan Jentera Pertanian dan tiga persijilan daripada Jabatan di bawah KPKM iaitu Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan.
Program-program pengajian itu ditawarkan di 16 Institut Latihan TVET Pertanian seluruh negara.
Sementara itu, KPKM dalam kenyataan berkata, sehingga kini kementerian tersebut telah berjaya melahirkan seramai 25,601 tenaga mahir dalam bidang pertanian.
Kualiti sistem latihan TVET pertanian turut dibuktikan melalui peningkatan kadar kebolehpasaran graduan institut latihan TVET pertanian KPKM kepada 81.23 peratus pada tahun 2024, berbanding 78.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan sama, KPKM bakal menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 pada 28 Ogos hingga 6 September tahun ini sebagai platform utama dalam memperkenalkan inovasi, teknologi terkini, dan anjakan paradigma sektor agromakanan negara kepada masyarakat umum.
Foong Hin berkata, dalam mendepani Revolusi Industri 4.0, integrasi teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IoT), mekanisasi, dan automasi kini menjadi pemacu utama transformasi sektor pertanian.
Sehubungan itu, pemerkasaan TVET Pertanian adalah kritikal bagi melahirkan graduan yang kompetitif, bersifat global, serta memiliki kepelbagaian kemahiran (multi-skilling) bagi memenuhi keperluan pasaran industri masa hadapan.
“KPKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada seluruh graduan, keluarga, tenaga pengajar, serta pihak pengurusan di bawah kementerian yang bertindak sebagai pemangkin utama kepada kelestarian industri pertanian dan keterjaminan makanan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















