KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan kerja-kerja perobohan struktur penjaja di Jalan 3/48A berhampiran UTC Sentul yang tular di media sosial adalah sebahagian daripada proses pembangunan semula kawasan penjaja, bukannya bertujuan menamatkan atau memindahkan aktiviti perniagaan di lokasi berkenaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kawasan penjaja tersebut telah menjadi lokasi perniagaan komuniti setempat sejak hampir 30 tahun lalu dan menjadi antara tumpuan penduduk sekitar.
Menurut beliau, berdasarkan rekod DBKL, kawasan berkenaan melibatkan 33 struktur penjaja dengan 20 penjaja dikenal pasti masih aktif menjalankan perniagaan.
“Proses ini bukan dilaksanakan secara tergesa-gesa. Perancangan projek telah bermula lebih awal melalui Program Lestari Niaga dan beberapa siri perbincangan telah diadakan sebelum sesi libat urus bersama penjaja serta pihak berkepentingan.
“Ia dilaksanakan pada 10 Februari 2026 bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berhubung cadangan pembangunan semula kawasan tersebut.
“Mengambil kira kepentingan lokasi tersebut kepada komuniti penjaja dan pelanggan sedia ada, DBKL memutuskan untuk membangunkan semula kemudahan penjaja di kawasan yang sama supaya aktiviti perniagaan dapat diteruskan setelah projek siap dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja perobohan struktur sedia ada adalah langkah yang perlu bagi membolehkan pembinaan semula kemudahan yang lebih selamat, lebih tersusun dan memenuhi keperluan semasa.
“Pada peringkat awal, beberapa pilihan termasuk cadangan penempatan di lokasi alternatif telah diteliti.
“Bagaimanapun, selepas mengambil kira pandangan penjaja, faktor lokasi, akses pelanggan serta keperluan komuniti setempat, DBKL memutuskan untuk membangunkan semula kemudahan penjaja di kawasan yang sama,” katanya.
Menurut beliau, melalui projek itu sebanyak 20 kiosk modular baharu akan dibina lengkap dengan kemudahan bekalan air dan elektrik, ruang makan berbumbung, pencahayaan yang lebih baik, tempat mencuci tangan, kemudahan pengurusan sisa serta penambahbaikan sistem saliran.
Dalam masa sama, DBKL turut memperkenalkan bantuan khas kepada penjaja yang terlibat sepanjang tempoh pembangunan semula dilaksanakan.
Fadlun berkata, setiap penjaja akan menerima bantuan RM1,500 sebulan selama tiga bulan sehingga projek berkenaan siap.
Katanya, pendekatan itu diambil bagi memastikan penjaja dapat kembali berniaga di lokasi yang sama selepas projek siap tanpa perlu berpindah ke tapak sementara.
Beliau menegaskan projek berkenaan bukan bertujuan menamatkan aktiviti perniagaan penjaja, sebaliknya sebahagian daripada usaha DBKL menyediakan kemudahan yang lebih baik. – MalaysiaGazette
















