Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bertemu keluarga pelajar Tingkatan Empat yang maut di sebuah sekolah di Sendayan, Negeri Sembilan, pagi ini. Foto FB Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru masyarakat untuk menghormati sensitiviti keluarga pelajar perempuan yang maut terjatuh dari bangunan sekolah di Sendayan, Negeri Sembilan pagi ini.

Katanya, keluarga allahyarham perlu diberi ruang untuk berdepan dengan detik sukar ini.

Menurut beliau, keutamaan pihaknya pada ketika ini adalah memastikan bantuan terbaik disampaikan kepada keluarga allahyarham serta semua yang terjejas.

“Mendapat perkhabaran duka pemergian anakanda di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada hari ini. Semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Saya bersama-sama dengan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia hadir ke hospital untuk bertemu sendiri dengan kedua-dua ibu bapa bagi memberikan sokongan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Fadhlina, kejadian itu sedang disiasat oleh pihak polis dan Kementerian Pendidikan sentiasa memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang berjalan.

Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Sendayan, di Negeri Sembilan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian yang berlaku pukul 10 pagi tadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast