Penguatkuasa KPDN memeriksa barangan berjenama yang disyaki tiruan menerusi serbuan di tiga premis sekitar Johor Bahru, Johor.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penjualan barangan berjenama yang disyaki tiruan menerusi serbuan di tiga premis sekitar Johor Bahru, Johor, dengan nilai sitaan dianggarkan RM600,000.

Dalam serbuan itu empat individu warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

Operasi yang dilaksanakan Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya itu merupakan hasil risikan selama sebulan terhadap peniaga yang dipercayai menjalankan jualan di pasar raya utama selain disyaki bertindak sebagai pembekal kepada peniaga lain.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, ketiga-tiga premis yang diserbu menawarkan pelbagai barangan berjenama yang memaparkan cap dagangan beberapa jenama terkenal tanpa kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar.

“Hasil pemeriksaan dan pengesahan awal oleh wakil pengadu mendapati terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] telah dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan serbuan menyita pelbagai jenis barangan yang disyaki menggunakan cap dagangan yang dipakaikan secara salah termasuk pakaian, beg tangan, dompet, tali pinggang, minyak wangi serta dokumen perniagaan berkaitan.

Dalam operasi sama, empat individu warga tempatan yang terdiri daripada pemilik dan penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam pengurusan operasi perniagaan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan kesalahan memiliki, menjaga atau mengawal barang yang menggunakan cap dagangan secara salah bagi tujuan perdagangan.

Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barangan atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan pula, hukuman denda maksimum adalah RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama dan meningkat sehingga RM30,000 bagi setiap barangan bagi kesalahan seterusnya.

Azman menegaskan, KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan yang melanggar hak harta intelek serta mengelirukan pengguna.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast