KUALA LUMPUR – Kes pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berhubung tuntutan palsu dan pengubahan wang haram, selesai di Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengemukakan keterangan 21 saksi.
Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan demikian setelah menutup kes selepas saksi terakhir, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Belanjawan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Mawar Awang memberi keterangan.
“Pendakwaan tidak berhasrat untuk menawarkan sebarang saksi kepada pembelaan (jika tertuduh dipanggil membela diri),” ujarnya.
Sehubungan itu, Hakim Azura Alwi menetapkan 1 Oktober ini untuk klarifikasi.
Mahkamah turut melapangkan tarikh perbicaraan pada 28 Ogos ini.
Beliau turut menetapkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 30 Julai dan hujahan balas pada 7 September ini.
Pada 30 April, mahkamah mendengar pegawai penyiasat kes, Penguasa Kanan M. Theenmoly, 41, yang menyatakan Azlan membatalkan tempahan pakej percutian ke luar negara sebelum menuntut agar pembayaran yang dijelaskan oleh kerajaan negeri kepada syarikat pelancongan, dibayar kepadanya.
Menurut saksi pendakwaan ke-20 itu, arahan pembatalan itu dikeluarkan kepada bekas Setiausaha Sulit Kanannya, Herwadey Hashim untuk dimajukan kepada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. dan Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd..
Menurut pegawai tersebut, susulan arahan itu, kedua-dua syarikat tersebut membatalkan pakej percutian ke London, United Kingdom (UK) dari 2014 hingga 2017.
Serentak itu katanya sejumlah RM1.06 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh dipulangkan menerusi empat keping cek dan satu transaksi wang tunai sebanyak RM207,468.
Perbicaraan kes itu bermula pada 18 Julai 2024 dengan mendengar keterangan bekas Pengarah Urusan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd (SKTT), Shafiei Ismail, bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Norazlan Yahya.
Selain Herwadey, saksi lain ialah Penolong Bahagian Siasatan Cawangan AMLA, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Safwan Arbangi turut dipanggil sebagai saksi.
Selain Noralis, pihak pendakwaan turut diwakili Haresh Prakash Somiah manakala pembelaan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff.
Azlan, 67, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd (SKTT) dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Justeru Azlan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Beliau juga didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Selain itu, Azlan berdepan lima pertuduhan pilihan menyalahgunakan wang sebanyak RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang dibayar kepada SKTT dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd. mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette















