Mohamad Sabu dan Dzulkefly menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor (Zon Selatan) di Taman Universiti, Johor Bahru, malam ini.

JOHOR BAHRU – Rakyat perlu sekali lagi memberi peluang Pakatan Harapan (PH) memerintah Johor berdasarkan pengalaman mentadbir negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun PH memerintah selama 22 bulan banyak perkara yang sempat dilakukan termasuk perubahan untuk rakyat Johor.

“We have done a good job. Antara yang kita buat seperti usaha babitkan perumahan. Kita hapuskan agihan 30 peratus sistem kuota menegak kerajaan (KMK) perumahan mampu milik.

“Kerajaan PH tambah satu lagi segmen bawah Rumah Mampu Biaya Johor untuk golongan M40. Itu contoh bahwa PH ada idea dan vision untuk mengendali kerajaan Johor jika rakyat beri mandat,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor (Zon Selatan) di Taman Universiti di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Jelasnya, ini kerana kerajaan Johor yang diterajui BN mempunyai kuasa majoriti dua pertiga dan tiada isu berkenaan ketidakstabilan politik.

“UMNO menang 40 daripada 56 kerusi DUN dan takde usaha tebuk atap, kenapa mahu  dibubarkan DUN, sepatutnya (penggal) habis pada April tahun depan, ada 11 bulan lagi tempoh.

“Kita tidak persoal daripada segi perundangan tapi daripada segi keperluan BN untuk dapat mandat baru daripada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Suhaizan berkata, sepatutnya PRN dan PRU diadakan serentak tetapi ditolak cadangan tersebut.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan kestabilan politik dengan mewujudkan kerajaan Perpaduan agar selari di peringkat Persekutuan.

Tambahnya, rakyat tahu mengapa kerajaan Johor mahukan PRN diadakan lebih awal sedangkan tempoh penggal masih ada lagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast