BATU PAHAT – Petronas Dagangan Berhad (PDB) mengumpul 1.6 juta kilogram minyak masak terpakai (UCO) menerusi perluasan rangkaian kepada 100 stesen pengumpulan di seluruh negara.
Ketua Pegawai Operasi PDB, Azureen Azita Abdullah berkata, sambutan yang diterima setakat ini menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa secara bertanggungjawab.
Sehubungan, PDB akan terus memperkukuh inisiatif pengumpulan UCO untuk memudahkan orang ramai menukar sisa dapur kepada sumber pendapatan sampingan sambil menyokong pemeliharaan alam sekitar melalui pelupusan minyak masak terpakai menerusi saluran yang betul.
Minyak terpakai yang dikumpulkan akan diproses untuk kegunaan lanjut, termasuk penghasilan bahan api alternatif.
Ketua Pegawai Operasi PDB, Azureen Azita Abdullah berkata, sambutan yang diterima setakat ini menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa secara bertanggungjawab.
“Setakat Mac 2026, inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai PDB telah berkembang ke 100 buah stesen di seluruh negara, dengan lebih 1.6 juta kilogram UCO berjaya dikumpulkan.
“Inisiatif ini turut menjana pulangan kira-kira RM4.8 juta kepada lebih 560,000 orang peserta, membuktikan amalan kecil di rumah mampu memberikan impak besar bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya dalam majlis meraikan pencapaian ini.
Majlis yang diadakan di Petronas Parit Bintang itu disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Azureen berkata, melalui inovasi dan teknologi, minyak masak terpakai yang dikumpulkan dari dapur-dapur di seluruh Malaysia kini berpotensi diolah menjadi bahan api yang lebih bersih untuk sector penerbangan, termasuk Sustainable Aviation Fuel (SAF).
Ini menunjukkan bahawa sisa harian boleh diberi nilai baharu sebagai sebahagian daripada penyelesaian tenaga yang lebih lestari,” tambah Azureen.
Katanya, dengan penyediaan kemudahan pengumpulan UCO di stesen Petronas terpilih di seluruh negara, PDB terus memperluas akses kepada pelupusan minyak masak terpakai yang mudah, selamat dan bertanggungjawab, selaras dengusaha memperkukuh agenda kelestarian dan ekonomi kitaran negara. – MalaysiaGazette
















